Khamis, 5 November 2009

Singkapan Kembara Hijrah'06...Mengharap Redha-NYA!




BismilLAH...
Was Solatu was Salamu ala RasulilLAH...

AlhamdulilLAH...Seinfiniti kesyukuran lantaran masih diberi keizinan dan kekuatan oleh Allah untuk mendirikan ibadah-ibadah yang fardhu dan sunat, sebagai tanda manifestasi kesyukuran kepadaNYA.

Hati ini merasa terpanggil-panggil untuk menulis. Menulis dengan mencontohi peribadi dan watak-watak jujur beberapa orang hamba Allah yang telah dianugerahkan nikmat hidayah taufiq dan hijrah.





HIJRAH ilaLLAH...



Antara figur yang saya amat hormati tersebut ialah Prof. Muhd Kamil Ibrahim, tulang belakang UiTM Johor.

Siapa yang tidak mengenali beliau, penulis buku tersohor 'Travelog Haji- Mengubah Sempadan Iman', dan 'Travelog Dakwah- Meniti Hari Esok'.

Semua penulisannya dalam dua buku tersebut bermula dengan hidayah taufiq yang mengarah menuju hijrah kepada keredhaan Allah.

Saya masih ingat lagi saat kali pertama mengenali beliau sebaik terlihat paparan mengenai kisah penghijrahannya dalam rancangan 'Lambaian Kaabah' (jika saya tidak silap) melalui siaran 106 Astro OASIS, kira-kira 2/3 tahun yang lepas...

Tersentuh amat hati saya tatkala mendengar bicara keinsafan yang lahir jauh dari sudut hatinya tatkala itu. Mengalir-ngalir air mata ini lantaran turut merasakan alangkah bertuahnya dia kerana telah dipilih Allah untuk memperoleh nikmat hidayah taufiq dan hijrah...SubhanalLAH!

Sebenarnya, disamping saya mendengar, saya juga sedang memuhasabah diri.

Ya Allah, permulaan kisah hijrah kami...SERUPA! Makin kerdil saya rasakan tentang diri ini dihadapan Allah swt.

Ketika itu, saya amat mengagumi dan merasakan bahawa dia benar-benar seorang insan yang bertuah lantaran Allah telah menganugerahkannya kekuatan untuk berkongsi pengalaman hidup dan penghijrahannya itu dengan semua orang, sekaligus menyampaikan mesej kebenaran dan penguat ketaqwaan kepada Allah swt. SubhanalLAH!

Ya, saya juga pernah berhijrah.

Tetapi, kekuatan magnet diri saya untuk mengajak orang lain agar bersama-sama berubah ke arah kebaikan dalam erti kata yang sebenarnya tidaklah sehebat prof.

Banyak sekali jatuh bangunnya...




SEJARAH…


Kisah hidup saya persis seperti prof. Cuma mungkin bezanya, saya bersekolah agama, prof MRSM. Saya juga tidaklah sebijak prof dalam akademik hingga mencapai straight A, adik-beradik saya yang cuma bertiga puteri itu juga tidak akan sama dengan bilangan adik-beradik prof yang berbelas-belas jumlahnya.

Namun, persamaan kami ialah...dahulu, saya sering merasakan bahawa, hampir setiap kejayaan, kelebihan, dan keunikan yang saya miliki adalah datangnya daripada usaha saya. Kerja keras saya sendiri.

Tidaklah sangat saya mengaitkannya dengan Allah. Bukan apa, kerana saya tidak ‘merasai’nya!

Bukan saya tidak belajar. Bahkan, saya telah dihantar oleh abah ke sekolah agama semata-mata untuk memastikan saya mencapai kejayaan yang seimbang. Duniawi dan ukhrawi.

Lebih 10 matapelajaran akademik yang saya dan rakan-rakan di sekolah agama pelajari...dan sebanyak itu jualah banyaknya bilangan matapelajaran agama yang kami ambil pada masa sama. Menjadikan keseluruhannya mencapai 20 subjek setiap tahun yang perlu dihadam!

Bukan saya tidak belajar bahawa setiap kelebihan dan kekurangan yang kita miliki, semuanya hanyalah milik Allah, dan PINJAMAN DIA SEMATA-MATA. Sehingga tingkatan 5 saya menadah kitab-kitab arab, ringkasan dari Universiti Al-Azhar, Misr dari para Ustaz dan Ustazah saya yang rata-ratanya berwibawa dalam bidang keilmuan masing-masing.


Namun, MUNGKIN KERANA KURANGNYA KESEDARAN DAN KESUNGGUHAN UNTUK MELETAKKAN MATLAMAT MEMPELAJARI ILMU-ILMU TERSEBUT ADALAH UNTUK MA'RIFATULLAH, atau MENGENAL ALLAH...maka sepanjang tempoh 5 tahun belajar di sekolah agama, senantiasa saja saya ini membawa 2 watak.




2 WATAK…


Apabila peperiksaan subjek agama semakin hampir, maka jiwa malaikat seolah-olah hampir amat dengan diri. Taqarrubnya, tahajjudnya, munajatnya...semua itu membantu membina diri dan peribadi sebagai mukminah yang solehah. Ditambah lagi dengan pengajian Tauhid, Fiqh dan subjek-subjek agama lain yang dipelajari, sungguh-sungguh meruntun jiwa ini menjadi bertambah hampir kepadaNYA.

Namun, tamat sahaja peperiksaan agama, dan sebaik tiba peperiksaan subjek akademik, maka terasa benar jiwa mengejar keduniaan itu mengikat diri.

Ya benar, tahajud dan hajat masih menjadi amal pergantungan diri dengan Allah. Namun, kemanisannya kian kurang dirasai. Tidak seperti ketika mahu menghadapi peperiksaan subjek agama dahulu! Ditambah pula dengan ujian perasaan seorang remaja...

Tamat zaman persekolahan baru saya sedari bahawa saya juga tidak terlepas daripada sindrom ‘menuntut ilmu kerana peperiksaan’ rupanya!

Akhirnya, benarlah seperti yang dikatakan oleh Hilal Asyraf dalam novelnya 'Terasing'...

"Kebijaksanaan mereka tidak membuatkan mereka mampu berfikir akan kebesaran Allah swt, dan mengajak hati mereka untuk tunduk kepadaNYA.

Bukankah itu menyedihkan?

Akhirnya dunia sahaja berjaya ditatang, akhirat berciciran hilang."




TURNING-POINT…


Namun, saya amat bersyukur kerana saya mula menyedari khilaf besar diri ini sebaik menginjakkan kaki ke dunia institut perguruan.

Di IPGM-Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur inilah Allah telah membuka jalan hidayah untuk saya. Di sinilah Allah singkap satu-persatu kesilapan, kekhilafan, dan kelpaan diri sepanjang sejarah kehidupan saya sedari kecil, melangkah ke alam sekolah rendah, seterusnya bergelar pelajar sekolah menengah agama, dan sehinggalah saya tiba di persinggahan ilmu dan budi, bumi IPIK ini.

Semuanya itu saya alami ketika saya masih baru di sini. Baru menuntut dalam PraPISMP (Pra-Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan).

Mungkin atas desakan-desakan kejutan budaya yang saya alami di IPG ini, dalam masa yang sama gerombolan masalah keluarga datang menghimpit diri, diasak pula dengan kekesalan atas kekhilafan-kekhilafan diri yang pernah merajai hati (dalam sedar dan tidak!) .......semuanya itu telah dijadikan ASBAB oleh ALLAH Taala UNTUK SAYA MULA BERUBAH.


PERUBAHAN TOTAL... 360 Degree.


Saya berubah tanpa niat lain SELAIN MENCARI KEAMPUNAN DAN KEREDHAAN ALLAH ke atas saya semata-mata.

Saban hari dan waktu saya menangis. Menagih keampunan dan rahmat Allah ke atas saya. Saya amat-amat takut jika Allah tidak ampunkan saya. Saya tahu saya banyak dosa. Saya tahu saya amat kotor dan hina.

Saya tidak kisahkan lagi makan, minum, tidur, rakan-rakan, kehidupan sekitar dan sebagainya. Saya cuma inginkan satu perkara sahaja dalam hidup ini. Iaitu KEREDHAAN ALLAH SEMATA-MATA.

Mata ini selalu basah apabila terngiang-ngiang di telinga dengan firman-firman Allah yang mengajak dan menyeru supaya saya sentiasa berlari kepangkuan redha-NYA...


"Bersegeralah kamu kepada KEAMPUNAN ALLAH dan KEREDHAAN-NYA..."


“Dan bersegeralah kamu mencari ampunan daripada Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa…


Iaitu orang yang berinfak, baik di waktu lapang ataupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan…


Dan juga, orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, segera mengingat Allah, lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu sedang mereka mengetahui…”

(Ali Imran -133-135)


“Sesungguhnya, orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, maka gementarlah hatinya, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-NYA, bertambah kuat imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal…”


Insafnya saya......terasa betapa kerdil dan hinanya diri kerana terasa betapa jauhnya diri saya daripada sifat mukmin yang disebutkan Allah itu. Jahil dan sombong bongkaknya diri saya sebelum ini. Merasakan diri ini hebat dan mulia, padahal dengan sifat itu sebenarnya telah menjadikan saya hodoh dan hina di sisi Allah.


Dulu saya sering memandang rendah sahabat-sahabat yang sering menangis kerana takutkan Allah...kerana hati saya mempertikai...sampai bila hendak terus-terusan menangis begini?? Asyik menangis dan merendah diri sahaja, tidak tercungkillah kreativiti dan inovasi dalam dakwah dan kehidupan! Ahh...bosannya ada kawan sebegini.


Namun, bila Allah buka hijab antara saya dengan Dia, baru saya tahu langit itu tinggi atau rendah!


Baru saya tahu betapa hebat dan mulianya sahabat-sahabat yang pernah pada suatu ketika dahulu saya pandang enteng terhadap mereka!


Dan baru saya tahu siapa diri saya yang sebenarnya!


Benar-benarlah rupanya saya ini hamba-Nya yang hina, zalim dan durjana. Sengaja meletakkan diri ke lembah kebinasaan. Namun saya tersungkur kembali dihadapan Allah dan mengakui bahawa itulah sebenarnya sisi diri saya yang sebenar, yang lemah, yang tidak saya sedari selama kira-kira 19 tahun hidup ini. 1987-2006.


Tahajjud, yang dulunya jarang-jarang saya lakukan, yang dulunya saya buat dengan langkah dan mata yang berat, tika itu...itulah makanan harian saya. Lantaran menagih ampunan, rahmat, kasih sayang, dan meraih perhatian-Nya.


Al-Quran, yang dulunya saya baca dengan hati yang berat dan tiada makna, menghafaznya kerana tuntutan peperiksaan dunia, tika itu...itulah pengenyang jiwa dan rohani saya.


Kalau dulunya saya membaca tafsir kerana itu suatu tuntutan, dan adanya rasa keterpaksaan, namun tika itu saya menekuninya kerana seakan-akan benar-benar dapat memahami dan merasakan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan 'tadabbur Al-quran'.


Dengan membacanya jiwa saya seakan-akan sejuk, terpujuk dengan ayat-ayat Allah yang seolah-olah melambai-lambai dengan kehadiran saya untuk menjejak CINTA TULUS-NYA.


Menangis lagi jiwa ini bila membacakan ayat-ayat motivasi dari kalam-NYa yang seolah-olah sedang memujuk pilu akibat hebatnya palu yang telah menghancur punah dan mengecaikan hati...lantaran dosa dan noda yang pernah memalit diri...

"Kemudian, sesungguhnya TuhanMU mengampuni orang yang mengerjakan kesalahan kerana kebodohannya, kemudian mereka bertaubat setelah itu dan memperbaiki dirinya, sungguh, Tuhanmu setelah itu benar-benar Maha Pengampun, Maha Penyayang..."


"Sesungguhnya, orang yang telah diberi pengetahuan sebelumnya, apabila Al-Quran dibacakan kepada mereka, mereka menyungkurkan wajah dan bersujud..."

"Dan mereka menyungkurkan wajah sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk"
(Al-Isra'-107, 109)

Terasa benar kebodohan lantaran kejahilan saya dahulu. Aib sungguh dirasakan. Cukuplah sejarah itu saya singkap sedikit sebanyak sebagai bekal buat menjadi pengingat untuk diri ini. Selebihnya, ia ada dalam simpanan Allah swt.



ISTIQAMAH…


Hampir kira-kira dua bulan atau lebih saya diistiqamahkan oleh Allah untuk terus-terusan begitu. Entah kenapa. Mudah benar hati ini tersentuh hiba apabila terlihat, terbaca, atau terdengar tentang kesusahan orang lain. Tidak kira manusia, haiwan, atau apa sahaja...

Dan, begitu mudah jua terusik baran dan marah dihati dengan lawak jenaka insan-insan di sekeliling yang mungkin tidak mereka sedari bahawa tindak-tanduk dan tutur kata mereka itu adalah satu penghinaan terhadap Allah serta Islam (agama yang mereka sendiri anuti!). Bagaikan sengaja mengundang kemurkaan Allah. Bertingkah sesuka hati, seolah dunia ini tiada aturan! Seolah-olah dunia ini merekalah tuhan! Tidakkah mereka menyedari izrael menyinga melihat wajah mereka 70 kali sehari?


Tapi, apakan daya...walau marah membara bagaimana melangit sekalipun didalam hati, namun saya tidak mampu melampiaskan teguran kepada mereka. Marah, kerana agama ini seolah dirobek perkosa oleh penganutnya sendiri! Saya marah pada sikap mereka. Dan saya marah kepada diri saya, lantaran longlai tiada kekuatan walau secebis pun untuk menegur dan meng'islah' mereka tatkala salah itu berlaku di depan mata.


Namun akhirnya, kerana sabar...saya dapat memahami bahawa mereka ini sangat kasihan sebenarnya. Berbuat onar dan maksiat lantaran tidak sampai hidayah Allah kedalam hati-hati mereka. Justeru, saya pinta agar Allah jaga hati saya supaya berupaya mengislah diri dan komuniti masyarakat yang paling hampir dengan saya dengan cara yang paling lembut. Kerana, hanya itu yang mampu saya lakukan. Supaya hati saya tidak sakit, begitu juga hati mereka. Begitupun, tetap ada yang membenci dan tidak menyenangi saya. Saya redha. Itulah sahaja yang saya mampu pada ketika itu.


SYUKRU LILLAH...


Dan sepatutnya, saban hari dan waktu saya perlu melafaz syukur dan melakukan bakti terhadap Allah dan Islam sebagai manifestasi kesyukuran atas nikmat hidayah taufiq dan hijrah yang telah dianugerahkannya kepada saya. Tatkala, pada masa yang sama masih ramai insan-insan di sekeliling saya seakan jauh dan sirna daripada hidayah Allah swt. Masya-Allah.


Dan saya yakin, pasti akan ada dikalangan pembaca yang merasakan apalah perlunya saya menukilkan semua ini, orang lain pun ada juga pengalaman sedemikian, tapi tak kecoh pun...


Prinsip saya, ini blog saya. Dunia saya. Disinilah diari dan kompas hidup saya selain al-Quran dan as-Sunnah sebagai rujukan. Maka, terpulanglah kepada saya bagaimana mahu mencorakkannya. Paling penting, biarlah ia di atas landasan yang Allah REDHA. Insya-Allah.


Tiada apa yang perlu saya gusar dan takutkan melainkan Allah semata.


Saya menulis bukan untuk menghentam sesiapa (seandainya ada yang beranggapan demikian...). Sebaliknya, saya hanya menyampaikan tempias kebenaran yang sekian lama terbuku di hati. Tapi insya-Allah, ia tidak akan lagi menjadi seperti gunung berapi yang meletus dengan tiba-tiba dan mengharu-birukan dunia insan-insan disekeliling saya. Kerana insya-Allah, saya yakin dan percaya bahawa Allah telah memberi saya kekuatan untuk menenangkan lahar obor yang panas membakar dalam diri selama saya berusaha mengislah diri sebelum ini.


Insya-Allah, ia tidak lagi akan pecah dengan tiba-tiba. Sebaliknya, akal yang Allah anugerahkan dengan kelebihan rasionalnya ini akan saya manfaatkan dengan sebaiknya.


Kepada yang pernah menjadi mangsa sifat ammarah dan mazmumah saya, maaf zahir dan batin saya lafazkan. Dari hujung tudung, sehingga hujung kasut...mohon dimaafkan salah silap saya yang saya sedari mahupun tidak. Sesungguhnya, saya ini hanyalah insan biasa, tidak lepas daripada melakukan salah dan dosa.


Dan sesungguhnya, saya masih lagi belajar memperbaiki diri dan mencari hakikat diri. Hatta pada saat ini pun saya akui, masih ada sifat mazmumah dalam diri saya yang tersisa. Mohonlah sama-sama ditegur, dan dibantu. Moga rahmat Allah sentiasa memayungi.


Sememangnya, dulu lagi ingin saya nyatakan kemaafan, namun mungkin tidak semua yang dapat menerima mesej perdamaian ini, dan baru hari ini diberi kekuatan untuk menulis entri 'pengakuan berani mati' ini!


WalLAHu Taala a'lam....



Hari ini, saya menulis entri ini kerana:


1-Ingin mengingatkan diri saya bahawa saya pernah berhijrah, dan ujian-ujian yang pernah saya alami sebelum hijrah itulah yang sepatutnya menambah baik kematangan dan optimis saya untuk menghadapi hidup dan masa depan. OPTIMIS!


2-Saya mahu mengingatkan sahabat-sahabat seangkatan serta adik-adik yang saya kasihi LilLAHi Taala di SMA Al-Khairiah, Temerloh khususnya, serta sekalian muslim umumnya agar pasakkan kembali MATLAMAT UTAMA KITA MEMPELAJARI ILMU iaitu - MA'RIFATULLAH! Mengenal Allah!


Sepatutnya, semakin bertambah ilmu kita, maka semakin qarib/dekat hubungan kita dengan Allah. Bukan semakin menjauhkan kita daripada-Nya. Tidak kiralah ilmu apa sekalipun (duniawi @ ukhrawi), kerana...asas bagi semua ilmu tersebut datangnya daripada Allah Taala.


Mafhum hadith Nabi saw : Hikmah (ilmu) itu milik orang mukmin yang tercicir. Dimana saja kamu menjumpainya, maka kutiplah ia...


3-Belajar untuk kembali menulis seperti 'orang dewasa yang berwibawa'.


Sebab saya selalu membayangkan bagaimanakah nanti agaknya tanggapan anak-anak saya terhadap saya sebagai ibu mereka apabila mereka membaca blog saya? Lantaran itu, biarlah saya bermula kembali secara optimis memandang masa lalu dan masa depan. Mudah-mudahan anak-anak saya boleh berbesar hati dengan ibunya. Sebab, begitu jualah caranya saya memandang peribadi emak dan abah yang amat saya sayangi...(hehe, sory mak, abah, atas kenakalan anakmu ini!)


4-Saya mahu sahabat-sahabat saya, mahupun individu-individu yang pernah mengenali saya sebagai 'perahsia' dalam masa 4 tahun setengah belajar di IPIK ini kenal siapa saya sebenarnya. Saya, manusia yang lemah dan sentiasa belajar memperbaiki diri. Tolong sokong saya, dan doakan saya.


Bukan sengaja saya senyapkan diri dari berkongsi tentang diri, tetapi kerana memikirkan bahawa hati ini perlu dijaga. Bimbang amat sebenarnya jika bercakap mengenai diri, lantas terdetik penyakit-penyakit yang mengudiskan hati. Maka, akan berendam air matalah hati ini jawabnya. Sebab, itu kelemahan saya.


Tapi, atas kesedaran bahawa penting untuk saya menjadi diri saya sejujurnya, maka saya perlu belajar kembali untuk jujur mengajak orang lain kepada kebaikan, sepertimana saya pernah mengajak diri saya ke arah itu juga.


Mencontohi kejujuran peribadi seperti Prof Muhd Kamil, apatah lagi kekasih agung Rasulullah saw, amat terkesan buat hati saya. Betapa saya kagumi dan cintakan mereka KERANA ALLAH.


Sayu…Rindunya saya terhadap Rasulullah…




WALLAHUA'LAM...
Hanya Allah yang Maha Tahu.


Lailaha illa Anta Subhaanaka inni kuntu minaz zolimiin...
Fatub alaiyya ya Maulana innaKa Antat Tawwabur Rahiim...
La haula wala quwwata illa BilLAHil Aliyyil Adzim.

Moga Allah ampuni dosa saya ketika menulis artikel ini. Tidak lain saya menulisnya selain kerana ALLAH. Serta, untuk menyeru diri saya dan sahabat sekalian agar KEMBALI KEPADA ALLAH, KEAMPUNAN, dan KEREDHAAN-NYA. Insya-Allah.




Hamba Allah yang kerdil,

Mukhlisah Mutmainnah,
11am-3.39pm,
5 Nov 2009,
109 Damai, IPGM-K.I.K,
Kuala Lumpur.