Rabu, 28 Januari 2009

Surat terbuka Dr. M kepada Obama




Oleh HATA WAHARI

KUALA LUMPUR 1 Jan. - Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama didesak menghentikan sokongan terhadap tindakan Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Genting Gaza sehingga mengorbankan nyawa penduduk di situ.

Desakan itu adalah antara sembilan tuntutan yang terkandung di dalam surat terbuka bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Obama yang turut dimuatkan di dalam blog beliau di www.chedet.co.cc.

Dr. Mahathir menegaskan, walaupun tidak mengundi Obama semasa pilihan raya Presiden AS, tetapi beliau adalah salah seorang anggota masyarakat dunia yang turut terjejas di atas sokongan yang ditunjukkan oleh AS.

''Saya mengalu-alukan janji anda (Obama) untuk melakukan perubahan, tentunya negara anda (AS) memerlukan banyak perubahan.

''Ini kerana AS dan rakyatnya paling dibenci penduduk dunia, malahan orang Eropah sendiri tidak suka kesombongan AS,'' katanya.

Obama dijadual mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-44, menggantikan George W. Bush pada 20 Januari ini.

Dr. Mahathir dalam desakannya itu meminta Obama menyelesaikan konflik Israel dan Palestin serta meletakkan agenda tersebut dalam senarai perubahan yang akan dilakukannya.

Sembilan desakan yang dipaparkan di blog Dr. Mahathir ialah;

- Berhenti membunuh orang ramai. AS sangat gemar 'membunuh' orang ramai untuk mencapai matlamat kuasa besar itu;

- Berhenti menyokong pembunuh iaitu Israel melancarkan keganasan di Semenanjung Gaza dengan menggunakan wang dan senjata AS;

- Berhenti mengenakan sekatan terhadap negara yang tidak boleh melakukan perkara sama terhadap AS;

- Hentikan para saintis dan penyelidik AS daripada membina senjata baru untuk membunuh ramai orang dengan lebih cekap;

- Hentikan pengeluaran dan penjualan senjata kepada dunia;

- Hentikan usaha untuk mendemokrasikan semua negara di dunia. Demokrasi sesuai di AS tetapi ia tidak semestinya sesuai di negara lain;

- Hentikan kasino yang AS namakan sebagai institusi kewangan. Hentikan dana lindung nilai, terbitan dan perdagangan mata wang. Hentikan bank dari memberikan pinjaman berbilion dari wang yang tidak wujud;

- Tandatangan Protokol Kyoto dan perjanjian-perjanjian antarabangsa lain.

- Tunjukkan rasa hormat kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut Dr. Mahathir, akan ada lagi desakan untuk Obama pertimbangkan dalam usaha memastikan perubahan yang dijanjikan dapat dilaksanakan.

''Sekiranya beberapa perkara yang disenaraikan ini dapat dilaksanakan, kamu akan diingati sebagai pemimpin yang hebat dan AS sekali lagi akan menjadi negara yang dikagumi.

''Kedutaan-kedutaan AS di seluruh dunia akan dapat meruntuhkan tembok tinggi dan wayar berduri mengelilingi bangunan jika perkara itu dapat dilaksanakan,'' katanya.

Dr. Mahathir juga mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada Obama dan berharap beliau akan menjadi Presiden AS yang hebat.

Tiada ulasan: