Selasa, 15 September 2009
TADZKIYATUN NAFS...Seni Tawadhuk
Tawadhuk yang sebenar tidak akan sempurna melainkan pada peribadi yang merendah diri dan telah mempraktikkan semua seni tawadhuk. Oleh itu, tawadhuk atau rendah diri adalah sebuah seni. Ia terzahir pada mimik muka, cara bersalaman, cara bergaul dengan orang lain, cara senyuman, cara menaiki kenderaan, cara menolong orang, dan cara pemakaian. Dengan itu, peribadi tersebut pada setiap masa dan keadaan menjadi orang yang tawadhuk, kerana seni-seninya yang pelbagai dan menyeluruh.
Seni-seni inilah yang akan kita bincangkannya di sini.
1. Tawadhuk pada reaksi muka
Seorang sahabat pernah berkata mengenai seni tawadhuk Nabi s.a.w pada muka baginda s.a.w: “Baginda tidak akan memalingkan muka darimu sehinggalah engkau memalingkan muka darinya.”
2. Tawadhuk dalam bersalaman
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak akan menarik tangannya ketika bersalaman, sehinggalah orang yang bersalaman dengannya menarik tangannya.
3. Tawadhuk dalam memberi salam
Rasulullah s.a.w apabila baginda memberi salam, baginda akan memberi dengan seluruh badannya (menghalakan badannya pada orang tersebut).
4. Tawadhuk dalam majlis
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w akan duduk pada satu majlis sehinggalah majlis itu berakhir.
5. Tawadhuk dalam senyuman
Baginda s.a.w adalah orang yang sentiasa senyum bila kamu berjumpa dengannya. Salamnya dimulakan dengan senyuman pada mukanya sebelum pada tangannya. Ia adalah muka yang tersenyum dan pandangan mata yang suci yang tidak membawa maksud selain cinta dan kasih.
6. Tawadhuk ketika berjumpa
Suatu hari datang seorang lelaki bertemu Rasulullah s.a.w dalam keadaan gementar kerana menyangkakan dia akan bertemu dengan seorang yang seperti raja dan ketua kaum, lalu baginda s.a.w berkata kepadanya: “Tenangkanlah dirimu, sesungguhnya aku ini bukanlah raja. Aku hanyalah anak kepada seorang perempuan, yang memakan ‘kadid’ (nama sejenis makanan kampung) di Mekkah." – Riwayat Ibn Majah.
7. Tawadhuk dalam menaiki tunggangan
Nabi s.a.w memilih untuk menunggang keldai, sedangkan baginda mampu untuk memiliki kuda, hanya kerana rasa tawadhuknya di hadapan Allah s.w.t. Bukanlah yang dimaksudkan dengan tawadhuk kepada Allah itu, menghinakan diri di hadapan manusia, padahal manusia itu kehebatannya dikira dengan siapa yang menunggang kenderaan tersebut, bukan dengan luaran. Pandangan dari sudut material yang cacat dan sempit itu adalah pandangan munafik tikamana salah seorang daripada pembesar orang munafik menyakiti keldai Rasulullah s.a.w, hampir-hampir berlaku pertempuran di antaranya dengan salah seorang muslimin. Pada hari peperangan Khaibar pula, Nabi s.a.w pulang ke Madinah dengan kemenangan ke atas Yahudi, sambil menunggang kudanya di tengah-tengah barisan tentera muslimin. Apabila mereka sedang meraikan kemenangan tersebut, Nabi s.a.w berkata: “ Di manakah keldaiku yang dulu itu?” Ia seperti mana jika baginda s.a.w hidup pada waktu ini: "Di manakah bas? Keretapi?" (dan juga pengangkutan awam yang lain) – hanya kerana sifatnya yang tawadhuk tidak melupakan apa-apa pun yang pernah berkhidmat padanya sebelum ini.
8. Tawadhuk dalam bekerjasama
Pada setiap projek khidmat awam atau sukarela, Nabi s.a.w memilih kerja yang paling susah. Ketika menggali parit dalam peperangan Khandak, baginda telah turun di tengah-tengah lubang tersebut sedalam tiga meter, untuk mengangkat pasir-pasir sehingga para sahabat telah berkata: “Sesungguhnya kami telah lihat badan Nabi s.a.w telah diliputi oleh pasir”. Kemudian mereka berkata: “Wahai Rasulullah, cukuplah engkau, biarlah kami pula yang lakukannya.” Maka Nabi s.a.w berkata: “Aku tahu bahawa kamu pasti akan lakukannya, tapi aku tidak suka dilihat lebih daripada kamu, kerana sesungguhnya Allah tidak suka seseorang hamba yang dilihat lebih istimewa berbanding sahabat-sahabat yang lain”. Nabi s.a.w apabila membahagikan tugas bersama-sama para sahabat, baginda akan memilih tugas yang paling berat ketika baginda berkata: “Dan untukku adalah semua tugasannya”.
9. Tawadhuk dalam berpakaian
Bukanlah yang dimaksudkan dengan tawadhuk dalam berpakaian, kita memakai pakaian yang koyak rabak dan compang camping. Suatu hari ada seorang lelaki datang bertemu Rasulullah s.a.w dan berkata: “Aku adalah seorang lelaki yang sukakan pakaian yang cantik dan elok, adakah ini sebahagian daripada sombong?” Lantas baginda s.a.w menjawab: “Sesungguhnya Allah itu cantik, dan menyukakan kecantikan.” – Riwayat Muslim. Maka tawadhuk di sini adalah kita tidak memakai pakaian untuk berbangga dan menunjuk-nunjuk serta membesar diri. Tetapi cukuplah kita memakai suatu pakaian yang cantik, elok dan sesuai, sebagai seorang muslim yang berinteraksi dengan nilaian Allah, bukan nilaian manusia. Ini adalah suatu perkara yang cantik darimu yang disukai Allah s.w.t. Kalau sebaliknya, maka itu adalah suatu bencana yang telah disebutkan oleh Rasulullah s.a.w: “Ketika seorang lelaki berbangga-bangga dengan pakaiannya, lalu Allah menenggelamkan dia ke dalam bumi, dan dia terkapai-kapai di dalamnya sehingga hari Kiamat." – Riwayat Muslim.
10. Tawadhuk dalam setiap masa
Lihatlah peristiwa Khaibar, ketika Nabi s.a.w bersama seorang budak perempuan kecil, dan memboncengnya di belakang baginda s.a.w. Apabila baginda mahu bergerak , baginda berkata kepadanya: “Hulurkan tanganmu” lantas baginda menurunkannya. Ketika peperangan berakhir, dan harta rampasan diagih-agihkan, baginda memanggil budak perempuan tersebut untuk mengambil sekalung rantai daripada harta tersebut. Budak perempuan itu terkejut apabila Nabi s.a.w berkata kepadanya: “Tidak, biar aku memakaikanmu rantai ini”. Budak tersebut kemudian menyebut mengenai rantai tersebut: “Demi Allah aku tidak akan mencabut rantai ini selamanya, sesungguhnya aku telah berwasiat supaya rantai ini dikuburkan sekali bersamaku dalam kubur.” – Riwayat Ahmad.
11. Tawadhuk di atas takhta pemerintahan
Seorang lelaki (di kalangan orang-orang yang hatinya tertarik untuk memeluk Islam – Muallaf) berkata kepada Abu Bakar r.a: “Wahai khalifah Rasulullah, tidakkah aku layak menerima sebahagian daripada zakat?”. Maka Abu Bakar r.a perintahkan untuk diberikan padanya sepotong tanah, dan berkata padanya: “Pergilah kepada Umar Al-Khattab r.a dan mintalah Umar menjadi saksi terhadap pemberian tersebut.” Lantas lelaki tersebut pergi kepada Umar Al-Khattab, lalu Umar berkata: “Demi Allah aku tidak akan bersaksi ke atas tanah ini. Sesungguhnya dahulunya kamu (golongan muallaf) ini dapat bahagian daripadanya kerana Islam ketika itu lemah, tetapi sekarang Islam telah kuat”. Lalu Umar memegang surat tersebut dan mengoyakkannya. Kemudian lelaki itu pergi menemui Abu Bakar dan berkata kepadanya: “Demi Allah, aku tak tahu siapakah di antara kamu yang sebenarnya khalifah?” Lalu Abu Bakar membalas: "Dia (Umar), kalau dia mahu." Adapun Umar dia berkata: “Menyesalnya aku, alangkah baiknya kiranya aku ini hanya sehelai rambut pada hati Abu Bakar”. Suatu hari telah datang satu rombongan dari Iraq, dan Ahnaf b. Qais termasuk dalamnya untuk bertemu Umar Al-Khattab. Pada ketika itu Umar berada di kandang unta, membersihkan sendiri unta sedekah. Apabila Umar melihat mereka, dia memanggil Ahnaf: “Wahai Ahnaf, mari ke sini, tolonglah Amirul Mukminin, untuk membersih unta sedekah ini”. Lantas berkata salah seorang lelaki daripada Iraq itu: “Semoga Allah merahmatimu wahai Amirul Mukminin, mengapa engkau tidak menyuruh hamba daripada hamba-hambamu untuk membersihkan unta ini?” Lalu Umar menjawab: “Dan hamba manakah yang lebih layak disuruh melainkan aku dan juga Ahnaf b. Qais? Tidakkah engkau ketahui bahawa sesungguhnya siapa yang telah dilantik untuk menjaga urusan muslimin, dia adalah pada kedudukan hamba daripada ketua?” *Ahnaf b. Qais kemungkinan pada waktu itu adalah ketua rombongan mereka.
12. Tawadhuk dalam mendengar
Nabi s.a.w berkata: “Janganlah engkau terlalu mengangkat aku sepertimana orang Nasrani mengangkat Isa b. Maryam, kerana sesungguhnya aku hanyalah hamba. Maka katakanlah aku sebagai hamba Allah dan utusan-Nya”. – Riwayat Bukhari.
13. Tawadhuk orang yang kuat
Sesungguhnya Nabi s.a.w menghadiri orang-orang yang miskin di kalangan muslimin dan menziarahi orang-orang sakit mereka serta menyaksikan jenazah-jenazah mereka. – Riwayat Abu Ya’la. Dan baginda s.a.w juga duduk di atas tanah, dan makan di atasnya, mengembala kambing, serta memenuhi jemputan seorang hamba yang hanya menjamunya sepinggan bali. – Riwayat Tabrani. Baginda s.a.w menziarah orang Ansar dan memberi salam kepada anak-anak mereka, serta mengusap kepala-kepala mereka. – Riwayat Nasaie.
Sumber: Laman ISMA Mesir
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan