Dunia hari ini semakin rancak bergerak memacu zaman IT yang serba canggih, teknologi maklumat berkembang pesat setiap minit sehingga membentuk dunia yang penuh dengan lambakkan maklumat dan informasi. Dengan adanya Syaikh Google dan Maulana Yahoo segala-galanya bagaikan hanya dihujung jari.
Namun begitu,tidak bermakna pada zaman akses maklumat yang serba canggih ini semua orang akan boleh digelar sebagai cerdik pandai, malah sebenarnya antara perkara yang paling merisaukan pada zaman ini ialah begitu ramai yang jahil tetapi berlagak pandai. Tidak cukup dengan itu, apa sahaja yang berbeza dan bertentangan dengan kefahaman dan ilmunya yang cetek itu,terus dipersalahkan.
Mudah Menyalahkan
Ini antara penyakit yang melanda orang zaman informasi ini,terutamanya umat islam,lebih-lebih lagi golongan yang so called agamawan. Apabila berdepan dengan pengamalan fiqh orang lain yang sedikit berbeza dan tidak pernah di dengari ataupun di lihat sebelumnya, terus dianggap salah. Bukankah lebih baik mengambil sikap bertenang dan berfikir. Sedarlah bahawa kita bukanlah orang yang paling mengusai ilmu di dunia,jadi tidak mustahil terlalu banyak perkara yang kita belum pun pelajari dan boleh jadi perkara itu adalah perkara yang terlalu asas. Jadi ambilah masa untuk bertanya dan mengkaji.
Dengan mengambil sikap bertenang,bertanya,mengkaji dan berfikir, ia pastinya akan lebih menguntungkan kita baik bagi diri sendiri mahupun umat ini insyallah.
Tukang ‘Goreng’
Tukang ‘goreng’ adalah satu golongan perosak yang sedang berkembang luas di dalam masyarakat kita hari ini, Apabila soalan yang ditanya itu tidak diketahui jawapanya, bukanya dijawab “tidak tahu”,malah mahu juga dijawab demi menjaga imej yang tidaklah semegah mana.
Maka tanpa fakta yang cukup dan kefahaman yang betul, cara yang paling mudah untuk menjawab persoalan yang ditanyakan masyarakat ialah dengan meng’goreng’ jawaban. Lebih parah apabila jawapan itu di’goreng’ sampai hangus !
Mulalah jawapan itu dikaitakan dengan perkara-perkara yang tiada kaitan pun, sehinggalah satu persoalan itu tadi berkembang biak menjadi persoalan-persoalan yang banyak dan bertambah rumit.
Meng’goreng’ jawapan akan menjadi masalah yang sangat besar apabila persoalan tersebut melibatkan urusan agama, lebih-lebih lagi di di dalam bab akidah, kerana ia boleh membawa kepada sesatnya manusia. Agama ini perlu dirujuk kepada fakta bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah,bukannya dijawab ikut rasa!
Bencana tunjuk pandai ini ada contohnya dari kisah pada zaman Nabi Muhammad Shallahu Alaihi Wasallam. Imam Abu Daud menyebutkan sebuah hadith daripada Jabir bin Abdillah :
“Kami mengadakan satu perjalanan. Salah seorang di antara kami ada yang kepalanya tertimpa batu. Lalu, kepala orang itu berbalut kain. Di saat tidur, orang itu bermimpi bersetubuh. Ia bertanya kepada kawan-kawanya. “ Bagaimana pandangan kalian, apakah aku diperbolehkan tayamum atau tidak? Mereka menjawab, Tidak boleh. Engkau harus wudhuk. Kerana engkau mampu menggunakan air. Maka, dia pun mandi. Akibatnya, dia meninggal dunia kerana lukanya terkena air. Ketika menemui Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam, kami sampaikan berita itu kepada beliau. Saat mendengar berita tersebut, Baginda berkata, “Orang itu dibunuh oleh kawan-kawanya. Mereka akan dikutuk oleh Allah. Kenapa mereka tidak bertanya, jika tidak tahu ? Sesungguhnya ubat kebodohan adalah bertanya. Padahal, orang itu cukup hanya tayamum dan membalut lukanya dengan kain. Ia cukup mengusap lukanya itu dan membasuh anggota badan lainya.”
Dalam Riwayat di atas Rasulullah menyebutkan bahawa kebodohan sebagai penyakit dan ubatnya adalah bertanya.
Menjawab "Aku Tidak Tahu" Adalah Aib?
Barangkali budaya kita yang menjadi punca sebahagian ilmuan ataupun orang kebanyakkan takut untuk memberikan jawapan “ aku tidak tahu”. Ini kerana,apabila seseorang itu menjawab dengan jawapan “aku tidak tahu” ramai yang menganggapnya sebagai seorang yang kurang berilmu dan tidak cerdik. Ini adalah satu mind set yang sepatutnya di ubah,dan mind set sebegini sukar untuk menyuburkan budaya ilmu,kerana di dalam dunia ilmu,”tidak tahu” adalah satu perkara biasa.
Sebagai contoh, jika ada seorang yang bergelar ustaz yang memberikan jawapan “tidak tahu” kepada persoalan yang ditanyakan,kebanyakkan masyarakat hari ini melihat ia seperti satu keajaiban dan keaiban yang besar. Mengapa harus begitu? Bukankah ilmu itu luas dan tidak semestinya seseorang itu menguasai satu bidang ilmu itu secara keseluruhanya.
Terdapat sebuah kisah hebat yang disandarkan kepada Imam Dar al-Hijrah Imam Malik Bin Anas. Beliau sangat dikenali dengan kejaguhannya di dalam bidang Fiqh dan Hadith,namun beliau juga dikenali sebagai seorang yang tegas memberikan jawapan “Aku tidak tahu!” kepada soalan-soalan yang diajukan.
Di dalam satu kisah,beliau didatangi seorang dari Marrakes yang jarak perjalananya ialah 6 bulan hanya untuk bertanyakan satu soalan.”Orang ditempatku menantikan jawapan kamu” Katanya pada Imam Malik. Namun selepas mendengar soalanya, Imam Malik menjawab, “ Tolong beri tahu kepada orang ditempatmu,aku tidak tahu jawaban bagi soalan yang ditanyakan”.
Di dalam satu kisah yang lain pula,beliau ditanyakan 48 soalan dan beliau menjawab “Aku tidak tahu” kepada 32 soalan daripadanya.
Begitulah sikap pemilik kitab Muwatto’ yang digelar Imam as-Syafie sebagai kitab yang paling sahih selepas al-Quran.
“Tidak wujud diatas muka bumi ini sebuah kitab selepas kitab Allah (al-Quran) sahih daripada kitab Malik” Imam as-Syafie (‘Asyik,Dr ‘Aid Qarni. Hlm 107)
Merendahlah
Oleh itu kita sebagai seorang penuntut ilmu yang masih jauh perjalananya,usah dek keegoan diri yang tinggi ,kita menipu orang ramai dan yang paling utama menipu diri sendiri hanya kerana tidak mahu dianggap jahil. Tetapi ini tidaklah bermakna kita tidak perlu bersungguh-sungguh di dalam menuntut ilmu,kerana bersungguh-sungguh itu pastinya menjadi tuntutan yang sangat utama bagi sorang penuntut ilmu. Cuma jika ada masa-masa kita diajukan soalan oleh masyarakat dan kita tidak tahu jawapanya katakan sahaja “Aku Tidak Tahu!” Kemudian cari jawapanya untuk menambah ilmu didada. Ia lebih baik dan selamat untuk dunia dan akhirat kita daripada berlagak pandai dalam hal yang kita tidak tahu kemudian menyusakan masyarakat dengan sikap sebegitu.
Allahu 'Alam (Allah Lebih Mengetahui)
Azlan Shah
Irbid, Jordan
11.45~16 feb '10
http://www.azlanshahjb.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan