Ahad, 4 Julai 2010

CERPENIS : "Sebaik-baik Ketenangan"

Bismillah..
Sekadar berkongsi cerpenis (cerita pendek Islam), manfaat buat semua..



"Sebaik-baik Ketenangan"



Kornea coklat Khairu Amni merenung jauh objek dari luar tetingkap kamarnya. Perkembangan dendrot di mindanya semakin laju menghasilkan rangkaian dendrit baru, ligat berfikir mengenai projek hidup. Ya, projek hidup bertempoh hanya 6 bulan. Hati siapa yang tenang bila memikirkan dekatnya maut yang bakal menjemput. Entah bagaimana kehidupan selepas peristiwa sakaratul maut yang seringkali diriwayatkan dengan fitnah kedahsyatannya itu.

"Allahummakhtim lana bi husnil khatimah, wala takhtim ‘alaina bisuuil khatimah”
[1].


Entah sudah kali ke berapa Amni mengulang bait-bait doa tersebut. Masih terngiang-ngiang di gegendang telinganya mengenai keputusan kesihatannya seminggu lepas. Doktor menyatakan bahawa dia menghidap penyakit misteri. Sudah lama. Tapi teknologi moden tetap tidak dapat mengesan apakah penyakit tersebut. Maha Hebat Allah yang mengatur segalanya. Batuk, sakit dan peningnya selama ini rupa-rupanya merupakan simptom gangguan kerosakan sistem di dalam tubuhnya. Khairu Amni dijangka hanya akan hidup 6 bulan sahaja lagi. Namun keputusan itu disambutnya dengan senyuman. Terasa nikmat bila dapat mengetahui bilakah saat bakal tibanya mati membatasi ketakutan kematian secara mengejut.

“Aku mesti lakukan sesuatu”, bisik hati kecilnya.

Anak gadis kepada 2 orang ustaz ustazah ini tekad untuk menyempurnakan baki projek hidupnya di atas landasan perjuangan. Lantas, pen dan sehelai kertas dicapai. Amni membentuk satu garisan sepanjang pembaris pendek berukuran 15cm. Point pertama : “Hari ini sebagai permulaan”. Kemudian bebola penanya dilajukan terus ke hujung garisan, point ke 15 cm : “SYAHID”. Itulah impiannya untuk memaknakan satu kematian dengan 2 kehidupan, kehidupan dunia dan akhirat.

Amni gegas bersiap, mengenakan jubah jeans dan tudung labuh berwarna putih, persalinan kesukaannya. Beg dibimbit, lengkap bersama diari Islam dan alat tulis. Sesekali batuknya datang ketika sedang membetulkan tudung di hadapan cermin. Pintu bilik dikuak, langkah digagahi.

“Along nak ke mana tu?”, soal ibunya kehairanan melihat anak emasnya itu. Ayahnya yang sedang membaca portal di sofa juga terhenti daripada pembacaannya seketika. Terpancar sedikit kerisauan di wajah mereka.

“Along ada usrah harini mak. Dah janji dengan kawan-kawan. Pagi ni dengan junior, petang nanti dengan satu batch pula. Along minta izin balik lambat sikit ye mak, abah..”. Senyuman dilemparkan dan salam dihulur, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

“Abang, tabah betul anak kita tu kan. Dah sakit-sakit macamni pun dia masih istiqamah lagi dengan kerja-kerja Islamnya”, sayu si ibu meluahkan rasa pada suaminya sambil memerhatikan kelibat anaknya yang semakin menghilang itu.

“Alhamdulillah. Berkat doa kita dulu, walaupun tak dapat anak lelaki sebagai pewaris ulama’, Allah gantikan dengan tiga puteri yang kita wariskan di jalan dakwah”, sambut si ayah lembut dengan fikirannya melayang mengimbas ingatan di awal pembinaan rumahtangga Muslim mereka hampir 24 tahun yang lalu.

“Moga 6 bulanmu penuh manfaat, anakku”, doa ibunya jauh di lubuk hati dengan linangan air mata hangat di pipi. Terharu.



*******************************

“Kak Amni, maaf kalau adik bertanya. Kenapa Kak Amni masih melakukan kerja-kerja ini semua di saat genting hidupmu, kakak”, soal salah seorang adik usrahnya. 10 pasang mata memerhatikannya, tidak sabar untuk mendengar respon dari naqibah mereka yang sangat disegani itu. Sesekali tudung-tudung labuh mereka berkibar dek hembusan angin di tepi Tasik Permaisuri.

“Adik-adikku, masihkah kau ingat bagaimana perjuangan Rasulullah di akhir hayat baginda. Walau sakit, baginda tetap istiqamah untuk hadir berjemaah di masjid bersama para sahabat. Walau pedih, baginda tetap membalas ujian dari Allah dengan senyuman. Sehinggakan di akhir nyawa baginda, baginda masih boleh meminta agar diringankan azab dan kesenangan hidup ummatnya! Kalau bukan kerana baginda, sudah pasti kita tidak dapat mengecapi nikmat Iman dan Islam pada saat ini. Allahuakbar.”, katanya dengan penuh semangat meresap di dalam jiwa anak-anak muda itu.

Hanya itu yang mampu dilakukan, menyebar fikrah Islamiah sebagai saham akhirat dalam agenda pembangunan ummah menuju khilafah. Halaqah usrah yang dipimpinnya seringkali diselit dengan sirah Rasulullah, peribadi teragung kekasih Allah. Seringkali juga ditiupkan ruh jihad menerusi kisah-kisah syuhada’ bermesejkan Tauhidullah beserta kepentingan ibadah dan berakhlak dengan akhlak Islamiyah. Murni harapannya dalan menyuburkan jiwa-jiwa pembawa agama Allah.



*******************************

Petang itu, Amni dan sahabat sehalaqahnya membawa modul “tempat yang ingin dilawati”. Apabila sampai kepada gilirannya, Amni hanya tersenyum dan mengatatakan “Syurgalah..”. Puteri-puteri solehah itu kesemuanya ketawa kecil apabila menyedari jawapan mereka semuanya sama.

“Tapi untuk sampai ke syurga, ana punya impian untuk menjejakkan kaki di Palestin, terlibat dalam usaha mempertahankan Baitul Maqdis, qiblat pertama umat Islam.”, sambungannya itu membuatkan sahabat-sahabatnya semakin berminat dan ternanti-nanti bait seterusnya.

“Ana rindu untuk mengikut jejak Syeikh Ahmad Yasin, seorang yang aktif bersukan dan cemerlang akademik tika di usia muda namun tetap giat dalam kerja dakwah mempertahankan Islam. Walaupun beliau syahid dalam keadaan lumpuh dan buta, ana lebih malu jika kelak kita yang sihat sejahtera ini dilabel dengan pembawa agama yang buta hatinya dan lumpuh imannya. Na’uzubillah.”, terasa ditajdidkan niat dan semangat juang di dalam diri.



*******************************

[1] “Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan husnul khatimah (kematian yang baik), dan jangnlah Engkau matikan kami dalam keadaan su’ul khatimah (kematian yang buruk)”.



Khairu Amni sentiasa terfikir-fikir kalau-kalau impiannya untuk berjihad di bumi Palestin terealisasi. Hatinya tetap. Malam itu sebagaimana kebiasaan, Amni menggagahkan dirinya untuk berqiamullail, bermunajat di hadapan pengatur segala takdir. Jiwa mujahidahnya terkesan dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang menyifatkan orang yang tidur pada waktu malam tanpa qiamullail ibarat bangkai.


Solat sunat istikharah didirikan. Dalam keheningan malam, sungguh-sungguh Amni memohon dan berdoa kepada Rabbul Izzah supaya membukakan jalan untuk dia mencapai impiannya iaitu syahid di hujung nyawa.


Bangunnya dia pada keesokan paginya menetapkan lagi pendirian dan imannya dengan keputusan yang diambil. Mimpinya semalam telah menjawab persoalan dalam istikharah yang dilakukakannya berulang kali. Amni bermimpi sedang berdiri di hadapan Baitul Maqdis, tanah suci umat Islam. Pendiriannya juga lebih tetap apabila ayat pertama yang dibacanya selepas Subuh adalah ayat pertama dari Surah Al-Isra’.


Hari itu bakal menjadi hari perbincangan mengenai keputusannya bersama dengan ibu bapanya. Dia tekad. Tekad untuk menuju syahid. Menamatkan hidup yang sementara dengan panggilan jihad.


*******************************


Ibu dan ayah Khairu Amni memerhatikannya dengan dahi yang sedikit berkerut tika mendengar penjelasan panjang lebar tentang keputusan anak mereka untuk menyertai visi ke bumi Palestin.


“Along, along dah fikir habis-habis? Jihad dan dakwah tu kan luas. Lagipun along kan…..”, tak sampai hati ibunya melengkapkan kata-kata.


“Sebab hidup along dah tak lama lah along buat keputusan untuk turut sama berjihad di Palestin, mak. Along dah istikharah”, ayat terakhirnya itu membuatkan ibu dan ayahnya seolah-olah tidak berkuasa untuk menyekat kemahuan puteri sulung mereka.


Amni sedikit pun tidak memperlihatkan keraguan di wajahnya. Dia tahu keputusannya itu bukanlah satu keputusan yang remeh. Harapannya kuat untuk menjejakkan kaki di bumi Palestin, turut sama berjihad walaupun nanti kakinya tidak akan menjejaki bumi pertiwi kembali.


“Mak, abah. Along nak syahid fi sabilillah. Along takut kalau along tinggal di sini, makin lama semangat juang along makin berkurang dek kerana penyakit yang along hidapi. Along takut gugurnya along nanti bukan sebagai syuhada’. Along pun nak bawa mak, abah dan adik-adik masuk syurga sama”. Mengalir air mata seorang ibu mendengar penjelasan anaknya. Perasaan bercampur baur hadir. Sedih, gembira, bangga, terharu.


“MasyaAllah anakku, sejuk perut ibumu mengandung”, bisik hati ayahnya.


*******************************


Pagi itu perkarangan rumah mereka dipenuhi jiran tetangga, saudara mara dan sahabat handai. Sungguh ramai. Bukan kerana berlakunya kematian, namun disebabkan untuk menghantar jiwa seorang pemudi solehah pergi berjihad pada peringkat yang tertinggi, iaitu fi sabilillah. Hujan renyai pada pagi itu dianggap rahmat bagi mereka.


Amni mengambil masa selama 2 bulan untuk mempersiap diri sebagai bekalan sebelum meninggalkan tanah air. 2 bulan sebelum berangkat ke Palestin, mengikuti rombongan Pertubuhan Palestin Bebas (PPB) dimanfaatkan bersungguh-sungguh. Pelbagai perkara yang telah dilakukannya. Blognya diupdate setiap hari tanpa sunyi dari mesej-mesej dakwah. Kadangkala dia mengadakan conference melalui skype untuk berusrah secara online dengan siapa sahaja dari seluruh dunia. Anak-anak jiran diajarnya al-quran tanpa sebarang bayaran. Sepanjang tempoh itu juga dia sempat menulis sebuah buku, “Mahar di jalan dakwah” sebagai hadiah buat ummah. Benar, berita dekatnya kematian benar-benar telah mentsabatkan kakinya di jalan dakwah.


“Emak, kain 4 meter, telekung dan kapur barus along dah packing sekali. Ada apa-apa lagi ke yang tinggal?”, soalnya bersahaja sambil memerhati barang-barang di dalam bagasinya. Terkedu si ibu tanpa suara.


“Dia benar-benar tsabat”, bisik hati kecil ibunya. Tubuh Amni dirangkul erat, dipeluk dan dicium. Mungkin itulah rangkulan yang terakhir.


“Dik, jangan lupa teruskan usaha dakwah walau di mana kamu berada”, pesannya kepada adik-adiknya dan adik-adik usrahnya.


Rombongan Khairu Amni dan PPB diiringi laungan jihad dan takbir masyarakat setempat. Seluruh masyarakat terdidik dengan kehadiran jiwa puteri solehah itu. Bibirnya murah dengan senyuman, melakarkan harapan di jiwa supaya akan lahir lebih ramai jiwa-jiwa yang akan menurut langkahnya.


“Rombongan PPB akan pulang semula tanpa membawa anakku bersama”, detik ayahnya jauh di sanubari tatkala melihat van pertubuhan itu semakin mengecil dan menghilang dari pandangan. Tanpa disedari mutiara jernih seorang bapa gugur dari kelopak matanya.


*******************************


2 bulan berlalu. Anggota PPB telah kembali semula ke Malaysia dengan membawa satu berita. Walaupun duka, namun berita itu dianggap berita gembira buat keluarga Amni. Duka kerana Khairu Amni dan 3 orang anggota PPB telah syahid diserbu Yahudi Laknatullah ketika sedang mengajar kelas pengajian akademik dan al-Quran buat anak-anak Palestin di tanah itu. Gembira kerana pemergian anak mereka seperti yang dia inginkan, syahid fi sabilillah. Perginya dia dalam ketenangan dan senyuman, menginterpretasikan namanya di hujung nyawa, ‘sebaik-baik ketenangan’. Moga Allah menempatkannya dalam kalangan para nabi dan orang soleh.



Wallahu’alam.






Nama : Mardiah Bt. Shaharum
Pena : Mard Shah
E-mail :
sivix_youth@yahoo.com
Tahun 4, Shariah, Ekonomi dan Perbankan Islam,
Universiti Yarmouk.
http://mukhlisahfillah.blogspot.com/


**Cerpen ini telah bejaya menduduki tempat ke2 di dalam pertandingan penulisan cerpen anjuran Kelab Karyawan Islam Jordan (KKIJ). Alhamdulillah.

Tiada ulasan: