Ahad, 4 Julai 2010

CERPENIS : "Sebaik-baik Ketenangan"

Bismillah..
Sekadar berkongsi cerpenis (cerita pendek Islam), manfaat buat semua..



"Sebaik-baik Ketenangan"



Kornea coklat Khairu Amni merenung jauh objek dari luar tetingkap kamarnya. Perkembangan dendrot di mindanya semakin laju menghasilkan rangkaian dendrit baru, ligat berfikir mengenai projek hidup. Ya, projek hidup bertempoh hanya 6 bulan. Hati siapa yang tenang bila memikirkan dekatnya maut yang bakal menjemput. Entah bagaimana kehidupan selepas peristiwa sakaratul maut yang seringkali diriwayatkan dengan fitnah kedahsyatannya itu.

"Allahummakhtim lana bi husnil khatimah, wala takhtim ‘alaina bisuuil khatimah”
[1].


Entah sudah kali ke berapa Amni mengulang bait-bait doa tersebut. Masih terngiang-ngiang di gegendang telinganya mengenai keputusan kesihatannya seminggu lepas. Doktor menyatakan bahawa dia menghidap penyakit misteri. Sudah lama. Tapi teknologi moden tetap tidak dapat mengesan apakah penyakit tersebut. Maha Hebat Allah yang mengatur segalanya. Batuk, sakit dan peningnya selama ini rupa-rupanya merupakan simptom gangguan kerosakan sistem di dalam tubuhnya. Khairu Amni dijangka hanya akan hidup 6 bulan sahaja lagi. Namun keputusan itu disambutnya dengan senyuman. Terasa nikmat bila dapat mengetahui bilakah saat bakal tibanya mati membatasi ketakutan kematian secara mengejut.

“Aku mesti lakukan sesuatu”, bisik hati kecilnya.

Anak gadis kepada 2 orang ustaz ustazah ini tekad untuk menyempurnakan baki projek hidupnya di atas landasan perjuangan. Lantas, pen dan sehelai kertas dicapai. Amni membentuk satu garisan sepanjang pembaris pendek berukuran 15cm. Point pertama : “Hari ini sebagai permulaan”. Kemudian bebola penanya dilajukan terus ke hujung garisan, point ke 15 cm : “SYAHID”. Itulah impiannya untuk memaknakan satu kematian dengan 2 kehidupan, kehidupan dunia dan akhirat.

Amni gegas bersiap, mengenakan jubah jeans dan tudung labuh berwarna putih, persalinan kesukaannya. Beg dibimbit, lengkap bersama diari Islam dan alat tulis. Sesekali batuknya datang ketika sedang membetulkan tudung di hadapan cermin. Pintu bilik dikuak, langkah digagahi.

“Along nak ke mana tu?”, soal ibunya kehairanan melihat anak emasnya itu. Ayahnya yang sedang membaca portal di sofa juga terhenti daripada pembacaannya seketika. Terpancar sedikit kerisauan di wajah mereka.

“Along ada usrah harini mak. Dah janji dengan kawan-kawan. Pagi ni dengan junior, petang nanti dengan satu batch pula. Along minta izin balik lambat sikit ye mak, abah..”. Senyuman dilemparkan dan salam dihulur, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

“Abang, tabah betul anak kita tu kan. Dah sakit-sakit macamni pun dia masih istiqamah lagi dengan kerja-kerja Islamnya”, sayu si ibu meluahkan rasa pada suaminya sambil memerhatikan kelibat anaknya yang semakin menghilang itu.

“Alhamdulillah. Berkat doa kita dulu, walaupun tak dapat anak lelaki sebagai pewaris ulama’, Allah gantikan dengan tiga puteri yang kita wariskan di jalan dakwah”, sambut si ayah lembut dengan fikirannya melayang mengimbas ingatan di awal pembinaan rumahtangga Muslim mereka hampir 24 tahun yang lalu.

“Moga 6 bulanmu penuh manfaat, anakku”, doa ibunya jauh di lubuk hati dengan linangan air mata hangat di pipi. Terharu.



*******************************

“Kak Amni, maaf kalau adik bertanya. Kenapa Kak Amni masih melakukan kerja-kerja ini semua di saat genting hidupmu, kakak”, soal salah seorang adik usrahnya. 10 pasang mata memerhatikannya, tidak sabar untuk mendengar respon dari naqibah mereka yang sangat disegani itu. Sesekali tudung-tudung labuh mereka berkibar dek hembusan angin di tepi Tasik Permaisuri.

“Adik-adikku, masihkah kau ingat bagaimana perjuangan Rasulullah di akhir hayat baginda. Walau sakit, baginda tetap istiqamah untuk hadir berjemaah di masjid bersama para sahabat. Walau pedih, baginda tetap membalas ujian dari Allah dengan senyuman. Sehinggakan di akhir nyawa baginda, baginda masih boleh meminta agar diringankan azab dan kesenangan hidup ummatnya! Kalau bukan kerana baginda, sudah pasti kita tidak dapat mengecapi nikmat Iman dan Islam pada saat ini. Allahuakbar.”, katanya dengan penuh semangat meresap di dalam jiwa anak-anak muda itu.

Hanya itu yang mampu dilakukan, menyebar fikrah Islamiah sebagai saham akhirat dalam agenda pembangunan ummah menuju khilafah. Halaqah usrah yang dipimpinnya seringkali diselit dengan sirah Rasulullah, peribadi teragung kekasih Allah. Seringkali juga ditiupkan ruh jihad menerusi kisah-kisah syuhada’ bermesejkan Tauhidullah beserta kepentingan ibadah dan berakhlak dengan akhlak Islamiyah. Murni harapannya dalan menyuburkan jiwa-jiwa pembawa agama Allah.



*******************************

Petang itu, Amni dan sahabat sehalaqahnya membawa modul “tempat yang ingin dilawati”. Apabila sampai kepada gilirannya, Amni hanya tersenyum dan mengatatakan “Syurgalah..”. Puteri-puteri solehah itu kesemuanya ketawa kecil apabila menyedari jawapan mereka semuanya sama.

“Tapi untuk sampai ke syurga, ana punya impian untuk menjejakkan kaki di Palestin, terlibat dalam usaha mempertahankan Baitul Maqdis, qiblat pertama umat Islam.”, sambungannya itu membuatkan sahabat-sahabatnya semakin berminat dan ternanti-nanti bait seterusnya.

“Ana rindu untuk mengikut jejak Syeikh Ahmad Yasin, seorang yang aktif bersukan dan cemerlang akademik tika di usia muda namun tetap giat dalam kerja dakwah mempertahankan Islam. Walaupun beliau syahid dalam keadaan lumpuh dan buta, ana lebih malu jika kelak kita yang sihat sejahtera ini dilabel dengan pembawa agama yang buta hatinya dan lumpuh imannya. Na’uzubillah.”, terasa ditajdidkan niat dan semangat juang di dalam diri.



*******************************

[1] “Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan husnul khatimah (kematian yang baik), dan jangnlah Engkau matikan kami dalam keadaan su’ul khatimah (kematian yang buruk)”.



Khairu Amni sentiasa terfikir-fikir kalau-kalau impiannya untuk berjihad di bumi Palestin terealisasi. Hatinya tetap. Malam itu sebagaimana kebiasaan, Amni menggagahkan dirinya untuk berqiamullail, bermunajat di hadapan pengatur segala takdir. Jiwa mujahidahnya terkesan dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang menyifatkan orang yang tidur pada waktu malam tanpa qiamullail ibarat bangkai.


Solat sunat istikharah didirikan. Dalam keheningan malam, sungguh-sungguh Amni memohon dan berdoa kepada Rabbul Izzah supaya membukakan jalan untuk dia mencapai impiannya iaitu syahid di hujung nyawa.


Bangunnya dia pada keesokan paginya menetapkan lagi pendirian dan imannya dengan keputusan yang diambil. Mimpinya semalam telah menjawab persoalan dalam istikharah yang dilakukakannya berulang kali. Amni bermimpi sedang berdiri di hadapan Baitul Maqdis, tanah suci umat Islam. Pendiriannya juga lebih tetap apabila ayat pertama yang dibacanya selepas Subuh adalah ayat pertama dari Surah Al-Isra’.


Hari itu bakal menjadi hari perbincangan mengenai keputusannya bersama dengan ibu bapanya. Dia tekad. Tekad untuk menuju syahid. Menamatkan hidup yang sementara dengan panggilan jihad.


*******************************


Ibu dan ayah Khairu Amni memerhatikannya dengan dahi yang sedikit berkerut tika mendengar penjelasan panjang lebar tentang keputusan anak mereka untuk menyertai visi ke bumi Palestin.


“Along, along dah fikir habis-habis? Jihad dan dakwah tu kan luas. Lagipun along kan…..”, tak sampai hati ibunya melengkapkan kata-kata.


“Sebab hidup along dah tak lama lah along buat keputusan untuk turut sama berjihad di Palestin, mak. Along dah istikharah”, ayat terakhirnya itu membuatkan ibu dan ayahnya seolah-olah tidak berkuasa untuk menyekat kemahuan puteri sulung mereka.


Amni sedikit pun tidak memperlihatkan keraguan di wajahnya. Dia tahu keputusannya itu bukanlah satu keputusan yang remeh. Harapannya kuat untuk menjejakkan kaki di bumi Palestin, turut sama berjihad walaupun nanti kakinya tidak akan menjejaki bumi pertiwi kembali.


“Mak, abah. Along nak syahid fi sabilillah. Along takut kalau along tinggal di sini, makin lama semangat juang along makin berkurang dek kerana penyakit yang along hidapi. Along takut gugurnya along nanti bukan sebagai syuhada’. Along pun nak bawa mak, abah dan adik-adik masuk syurga sama”. Mengalir air mata seorang ibu mendengar penjelasan anaknya. Perasaan bercampur baur hadir. Sedih, gembira, bangga, terharu.


“MasyaAllah anakku, sejuk perut ibumu mengandung”, bisik hati ayahnya.


*******************************


Pagi itu perkarangan rumah mereka dipenuhi jiran tetangga, saudara mara dan sahabat handai. Sungguh ramai. Bukan kerana berlakunya kematian, namun disebabkan untuk menghantar jiwa seorang pemudi solehah pergi berjihad pada peringkat yang tertinggi, iaitu fi sabilillah. Hujan renyai pada pagi itu dianggap rahmat bagi mereka.


Amni mengambil masa selama 2 bulan untuk mempersiap diri sebagai bekalan sebelum meninggalkan tanah air. 2 bulan sebelum berangkat ke Palestin, mengikuti rombongan Pertubuhan Palestin Bebas (PPB) dimanfaatkan bersungguh-sungguh. Pelbagai perkara yang telah dilakukannya. Blognya diupdate setiap hari tanpa sunyi dari mesej-mesej dakwah. Kadangkala dia mengadakan conference melalui skype untuk berusrah secara online dengan siapa sahaja dari seluruh dunia. Anak-anak jiran diajarnya al-quran tanpa sebarang bayaran. Sepanjang tempoh itu juga dia sempat menulis sebuah buku, “Mahar di jalan dakwah” sebagai hadiah buat ummah. Benar, berita dekatnya kematian benar-benar telah mentsabatkan kakinya di jalan dakwah.


“Emak, kain 4 meter, telekung dan kapur barus along dah packing sekali. Ada apa-apa lagi ke yang tinggal?”, soalnya bersahaja sambil memerhati barang-barang di dalam bagasinya. Terkedu si ibu tanpa suara.


“Dia benar-benar tsabat”, bisik hati kecil ibunya. Tubuh Amni dirangkul erat, dipeluk dan dicium. Mungkin itulah rangkulan yang terakhir.


“Dik, jangan lupa teruskan usaha dakwah walau di mana kamu berada”, pesannya kepada adik-adiknya dan adik-adik usrahnya.


Rombongan Khairu Amni dan PPB diiringi laungan jihad dan takbir masyarakat setempat. Seluruh masyarakat terdidik dengan kehadiran jiwa puteri solehah itu. Bibirnya murah dengan senyuman, melakarkan harapan di jiwa supaya akan lahir lebih ramai jiwa-jiwa yang akan menurut langkahnya.


“Rombongan PPB akan pulang semula tanpa membawa anakku bersama”, detik ayahnya jauh di sanubari tatkala melihat van pertubuhan itu semakin mengecil dan menghilang dari pandangan. Tanpa disedari mutiara jernih seorang bapa gugur dari kelopak matanya.


*******************************


2 bulan berlalu. Anggota PPB telah kembali semula ke Malaysia dengan membawa satu berita. Walaupun duka, namun berita itu dianggap berita gembira buat keluarga Amni. Duka kerana Khairu Amni dan 3 orang anggota PPB telah syahid diserbu Yahudi Laknatullah ketika sedang mengajar kelas pengajian akademik dan al-Quran buat anak-anak Palestin di tanah itu. Gembira kerana pemergian anak mereka seperti yang dia inginkan, syahid fi sabilillah. Perginya dia dalam ketenangan dan senyuman, menginterpretasikan namanya di hujung nyawa, ‘sebaik-baik ketenangan’. Moga Allah menempatkannya dalam kalangan para nabi dan orang soleh.



Wallahu’alam.






Nama : Mardiah Bt. Shaharum
Pena : Mard Shah
E-mail :
sivix_youth@yahoo.com
Tahun 4, Shariah, Ekonomi dan Perbankan Islam,
Universiti Yarmouk.
http://mukhlisahfillah.blogspot.com/


**Cerpen ini telah bejaya menduduki tempat ke2 di dalam pertandingan penulisan cerpen anjuran Kelab Karyawan Islam Jordan (KKIJ). Alhamdulillah.

Monolog Hati...SAUDARA vs UKHWAH??

Salam muhasabah..

Saya sangat sayangkan adik saya. Sangat sayangkan dia kerana jiwa kentalnya, semangatnya, dan kesungguhannya dalam melakukan tiap keputusan dan tindakan. ~Maaf, memang kurang wajar untuk membesarkan makhluk, melainkan sepatutnya HANYA ALLAH sahajalah yang WAJIB DIBESARKAN.

Tapi, malam ini saya tidak mampu lagi menahannya...~menahan perasaan ini daripada mengatakan bahawa "angah, akak sangat sayangkan awak!"

Bertambah-tambah rindu saya terhadapnya sementelah membaca cerpen yang dikarangnya bertajuk ~"KHAIRU AMNI"~

(..Air mata saya masih tidak henti-henti mengalir tika ini -setelah membaca cerpen tersebut, kerana di dalamnya ada spirit yang mengalir dari jiwa kami, dua beradik...dan saya rasa berada terlalu dekat dengannya sekarang.)


Mungkin ada sahabat-sahabat yang hairan, mengapa saya menyatakan kerinduan ini di dalam catatan peribadi blog saya. Apakah perlu ini semua?? TTak lama lagi dia baliklah ke Malaysia kan??

Sebenarnya, bukan kerana telah lama tidak bertemu setelah beliau menyambung pengajian selama dua tahun di Universiti Yarmouk, Jordan. Tidak! Tetapi sebetulnya, saya cemburu! Ya, cemburu!

Sangat cemburu dengan persahabatan yang terjalin antara dirinya dengan sahabat qaribnya yang digelarnya 'sahabat from Allah'. ~Mungkin ada yang kenal. Walaupun saya tidak pernah menzahirkan kata-kata ini terhadapnya, dihadapan mereka, namun setiap kali saya bersama mereka, saya jadi cemburu!

Masakan tidak saya cemburu! Saya kakaknya. Hidup bersama, susah senang bersama selama hampir 21 tahun. Tapi, kewibawaan saya sebagai seorang kakak menjadi tercabar tatkala Allah mempertemukannya dengan saudara 'kembar'nya itu! Dia seolah-olah ditarik jauh daripada saya...tiap ketika, masa, dan tempat, pasti mereka ada berdua! Memburu ilmu -bersama, mengembara untuk ma'rifatulLAH -bersama, berkelana mencari pengalaman hidup -bersama, makan, minum, tidur, berkongsi suka duka......semuanya BERSAMA! Hampir lima tahun saya menyimpan rasa.

Astaghfirullah...

Namun jangan bimbang, cemburu saya itu bertempat.

Walaupun saya sangat cemburu dengan keakraban mereka, namun saya sangat sayangkan mereka, kedua-duanya. Ya, tidak sangsi lagi, kedua-duanya adalah adik-adik yang sangat saya kasihi.

Semuanya kerana, ALLAH!

Saya redha dengan percaturan Allah ke atas hubungan kami yang terjalin disebabkan pertalian darah ini. Kerana saya amat maklum, apabila kita berada di atas jalan dakwah, pasti akan Allah hadirkan seorang sahabat yang akrab dengan jiwa kita, lebih daripada saudara kandung sendiri! Saling menjadi pakaian antara satu sama lain. Dalam banyak situasi, masa, dan ketika, pasti kita akan berada bersamanya, melebihi waktu yang kita peruntukkan bersama ahli keluarga kita.

Persaudaraan seperti itu sebenarnya adalah manifestasi 'UKHWAH KERANA ALLAH'.

Lebih manis, apabila ia terbina di atas jalan dakwah dan tarbiyah, demi sebuah perjuangan ~mengagungkan syiar Allah!

.............


Alhamdulillah, saya sudah lega sekarang. Maaf dipinta andai ada yang terguris hati dengan nota hati saya kali ini. Saya menulis untuk menstrukturkan kembali view saya terhadap kehidupan. Ya, bait-bait terakhir ayat saya itulah sebenarnya merupakan pandangan saya dalam menilai sebuah keakraban perhubungan.

UKHWAH itu indah... bila bertemu dan berpisah, KERANA ALLAH!




Akhir kalam, segala yang baik datangnya daripada ALLAH. Yang lemah adalah kerana daifnya diri saya selaku insan biasa yang tak lepas daripada salah dan dosa. Astaghfirullah saya pohonkan.

Buat angah and ur 'sahabat from Allah', serta semua sahabat dan sahabiah saya yang turut sama berada di atas jalan Allah, ingatlah bahawa sesungguhnya....


"HIDUP INI INDAH, JIKA SEGALANYA KERANA ALLAH!" ^.^
~Teruskan Perjuangan!!


Yang merindui sahabat2 seperjuangan,
Mukhlisah Mutmainnah,
IPG Ilmu Khas,
4 Julai'10,'
1.15 a.m.

Sabtu, 3 Julai 2010

Secebis manis di Jordan.. ;)

Dari sisi pandang adikku di Yarmouk...

~Kami sangat bahagia bertemu denganmu angah!~

TAHNIAH ATAS KECEMERLANGANMU MERANGKUL 'THE BEST STUDENT of FACULTY'!

TAHNIAH JUGA ATAS PENERIMAAN IJAZAH TEMPOHARI!


http://mukhlisahfillah.blogspot.com

.............



RINDUKU TERUBAT JUA..

~bergambar di 306, Queen Alia Hotel (penuh bersejarah)


Alhamdulillah. Baru semalam saya (dan along) kembali dari Amman, berjumpa dengan ahli keluarga setelah hampir 2 tahun tidak bertemu. Sebenarnya saya dan beberapa kawan lain (along, hamuz dan mcyah) dah berjumpa dengan mereka 10 hari lepas, dalam transit pertama mereka sebelum menunaikan umrah. Sedih memang sedih kerana tidak dapat menuruti mereka. Apatah lagi bila kesemua ahli keluarga terlibat dalam mengikuti travel tersebut : abah, emak, kakak, adik, embah dan opah baru. Tapi kata-kata emak sedikit sebanyak menghilangkan terkilan di hati. Mana tidaknya, kos untuk berumrah dari Jordan, jika menggunakan jalan darat hanyalah sekitar 100JD (RM500), jika menggunakan jalan udara hanyalah sekitar 250JD (RM1250). Berbanding kos dari Malaysia yang memakan belanja lebih dari RM6000/orang. Namun atas sebab-sebab dan masalah tertentu, saya tidak dapat ikut. T_T

~kenapa semua dah kurus?? - rindu kat angah yee...



Cerita "behind the scene"

Muqaddimah
Di Jordan terdapat 2 lapangan terbang. Yang utamanya terletak di Amman, Queen Alia Airport, dinamakan bersempena nama permaisuri kepada King Abdullah Tsani yang memerintah Jordan sekarang. Perjalanan dari Irbid ke Amman (Mujamma' Syimal - bus station) memakan masa lebih kurang 1 jam setengah. Manakala dari Mujamma' Syimal ke airport, jika menaiki bas ekspres lebih kurang 50 minit perjalanan, jika menaiki teksi lebih kurang 35 minit.

Kelmarin saya (dan along) tiba di airport lebih kurang jam10 malam. Keadaan agak sesak berbanding hari-hari lain kerana majoriti flight dari Eropah berstatus 'delayed'. Maka berbagai-bagai gelagat golongan Arab yang majoritinya nampak kaya dan berada kami saksikan sementara menunggu status flight RJ721 (Royal Jordanian) dari Jeddah.



2.45 pagi - Rombongan umrah Andalusia tiba..


Alhamdulillah.. semuanya selamat, walaupun masing-masing ada yang sakit belakang, sakit kaki, dsb, dan majoriti dalam keadaan suram kerana mengantuk. Langkah menuju ke bas RJ digagahi.

"Mak, bagitahulah Mrs. Eva (ketua rombongan) kitorang nak naik sama.."

Mrs. Eva hanya menunjukkan isyarat 'naik je, senyap-senyap'..

Maka, berlangsunglah perjalanan lebih kurang 10 minit menuju ke Queen Alia Gateway Hotel. Oleh kerana masing-masing letih dan penat, prosuder agak pantas - pemeriksaan barang dan individu, check-in hotel, bergerak masuk lift..

Kami (emak, abah, kakak, adik, along dan saya) merupakan kumpulan terakhir yang memasuki lift. Dalam masa yang sama terdapat juga beberapa orang pembantu hotel.


"What's your room number?", soal pekerja bercermin mata dan berwajah serius.

"tsalasa mieh wa tsamanieh (308)", jawab along dengan slang Arab Jordan.

Pintu lift yang baru sahaja hendak tertutup terus ditahannya..

"Ent min Amman?? (Awak dari Amman??)", soalnya terkejut.

"na'am", jawab along pantas.

"alamak.... kantoi.....", kataku dalam hati.

"min kaman min Amman?? (sape lagi dari Amman??)", kami masing-masing memandang antara satu dengan yang lain, mula merasakan ada yang tak kena. (pandang orang lain sekali, strategi untuk mengelak)
"mamnu' dukhul (awak tak boleh masuk)... bla bla bla..", kami tadah telinga jer..


Selepas diambilnya nombor bilik, terus dia bergegas ke kaunter hadapan. Pintu lift yang tadinya ditahan, mula tertutup dan bergerak ke tingkat 3.


"Gulp..", Allah je yang tahu bagaimana dalam hati ni. Muka along dah mula kelat. Orang lain semua senyap dengan muka yang agak cool. (Patut lah! sebab orang tu cakap dalam bahasa Arab. Kalau mak abah faham, mesti diorang risau gile..)

Macam-macam teori telah kami cipta dan bermain-main di fikiran. Mata langsung tak boleh lelap walaupun hakikatnya mengantuk sangat-sangat.

'nanti kena tendang ke..'

'ke.. kena bayar.. berapa ratus pulak lah. lagipun bukannya hotel biasa..'



'kena penjara??'
Lama lepas Subuh baru dapat kami lelapkan mata. Cerita-cerita kakak di Haramain sedikit sebanyak mengurangkan kegusaran di hati, namun tetap tidak dapat melenyapkan rasa itu!


"Along, tidurlah.. nanti kena halau, kat mana pula kita nak tidur..", bunyi macam cool, dalam hati - ribut. Setengah hari kena marah dengan along sebab buat macam tak kesah je. tak habis-habis ajakan "jom balik" terpacul di mulutnya.

"adik, jom balik.."


"adik, pukul berapa kita nak balik ni??!"
"along nak balik kul9".. erk, awalnyee.. flight mak abah kul 2 pagi karang.. relax la dulu..




2.15 petang - keluar dari hotel ke bandar Amman

Kesian juga pada ahli rombongan, transit 24 jam tapi tak dapat visa untuk keluar dari kawasan airport. Mereka hanya sempat travel di sekitar Jordan ketika mula-mula sampai dahulu, itupun hanya untuk beberapa jam, sempat singgah di 4 tempatsekitar Amman semata, terkejar-kejar juga.
Mula-mula berjumpa dahulu, kami ada bawakan buah ceri dan strawberi besar-besar sebagai ole-ole untuk tetamu dari Malaysia. Rupa-rupanya mereka sangat berminat, dan berhasrat membawanya pulang ke Malaysia. Maka, kami pun mengambil tempahan untuk ceri, strawberi dan apricot (yang sedang dalan musimnya). Hampir 20kg juga kesemuanya.
Kakak mengiringi kami (saya dan along) ke luar pintu hotel. Sume pegawai yang kami jumpa di sepanjang laluan memandang kami. Mula la rasa serba serbi tak kena, seolah-olah ada sesuatu yang pelek sedang berlaku. (mungkin perasaan kami je)


Strategi :
"jangan cakap bahasa Arab, kita guna bahasa Inggeris je"
"kalau nak cakap bahasa Arab, buat-buatlah tergagap tak reti..


"muka maintain cool"..



Bermacam-macam pesan ayat Quran yang kakak suruh kami baca. Seronok juga mengatur strategi dalam keadaan orang sekeliling tak faham apa yang kita perkatakan.

Alhamdulillah. kami berjaya melepasi kawasan guard di pintu hotel. Senyum dan salam dihulurkan. Merasakan bahawa telah terlepas, saya berborak pendek dengan kakak di muka pintu. Tengah-tengah perbualan, kami melihat kelibat salah seorang guard membuka langkah ke arah kami, terus saya matikan perbualan dengan ayat tergantung, "dia datang".. cabut..
Baru je beberapa langkah ke depan, guard tu panggil, "ya sobaya..", panggilan untuk budak perempuan. "Alamak.."..
Patah balik. Bersedia untuk melaksanakan strategi.


"Bitehkul 'Araby?? (korang boleh cakap Arab?)", tanya guard tersebut dengan slang 'ammy (bahasa pasar) Jordan. 'mana pulak la orang ni tahu..'
"Na'am.syuwai.syuwai. (boleh la sikit2)", sambut along sepatah sepatah. Rasanya orang baru belajar pun tidak la bercakap begitu. Argh, lantak lah..
"Wein bitrouh? (awak nak ke mana?)", tanya nya lagi.


Kami saling berpandangan. "nuridu an nazhaba ila...... (kami nak pergi ke.....)", buat-buat tak tahu tempat pulak!
Melihat kepada gerak geri kami yang tergagap gagap bercakap Arab, dan menggunakan bahasa fushah sepenuhnya (siap berbaris belakang lagi), dia tersenyum. Setiap yang dikatakannya dia akan sertakan dengan gaya sekali, bimbang kalau kami tak faham, kadang-kadang diulangnya 2-3 kali supaya kami dapat menangkapnya.

Kakak yang duduk di tepinya menahan gelak melihat gelagat kami.


Alhamdulillah, lepas. Siap pesan - kalau nak pergi bandar, naik bas sekian sekian.. kami sambut dgn "Oooo..." je lah. Kalaulah semua Arab pun begini.... (tak la cerita ni jadi panjang berjela).
Langkah diteruskan ke gate utama. Sambil-sambil kami menunjuk-nunjuk ke kiri dan kanan, seolah-olah orang tak tahu jalan dan baru kali pertama sampai.


"Where do u want to go?", soal guard dengan serius.
Apalagi, strategi dilaksanakan sekali lagi. Siap 3 orang guard menuju ke arah kami.
"Awak masuk dari pintu mana?? Masa awak masuk ada tak guard cakap apa-apa kat awak?? bla bla bla.." (dah siap alih bahasa). Macam-macam pertanyaan yang diajukan.
"Er, saya tak tahu pula kalau-kalau hotel ni ada 2 gate. Tak de pula sape-sape cakap apa-apa. Kami datang ni semata-mata ziarah jer. bla bla bla..", melihat ke'blur'an kami, Alhamdulillah lepas.. dalam masa yang sama salah seorang daripada mereka 'melaporkan' menerusi telefon apa yang kami perkatakan tadi.
Rasa bagai dilepaskan dari penjara.. fuhh, lega.




~kedai buah tepi jalan yang kami singgah..~beraneka buah tempatan Jordan.

******************

Begitulah sebahagian daripada kisah. Penat pula nak menghabiskan.

Namun, pengajaran yang perlu diambil - "walau apa pun keadaan, jangan cuba menipu". Mengelak tu lain cerita.. Alhamdulillah rasa lah Allah mudahkan. "Hidup ini perlukan kepandaian, bukan pandai belajar semata-mata".

On the way berpatah semula ke hotel untuk menghantar buah-buahan tempatan Jordan, barulah kami tahu prosudernya mudah sahaja. Tinggalkan ic atau pengenalan diri di kaunter guard, then masuklah ke dalam, asalkan tidak membawa barang-barang yang disyaki.

Kelakar. Beginilah cerita yang Allah susun di waktu-waktu terakhir kami berada di Jordan.. sebagai 'ole-ole kenangan' kami pulang ke Malaysia nanti.


~say good bye to Queen Alia Hotel and to them..

To my lovely family; "Jumpa lagi 5 hari sebelum Eidul Fitry nanti.." insyaAllah..

Hasratku untuk mereka jejak ke bumi Jordan dan merasai kelazatan buah tin segar telah terlaksana. Alhamdulillah. Walaupun sebentar cuma, namun rinduku telah terubat jua.. Thanks to all of you. Mubarak umrah.



Mukhlisah Mardhiah
14 Jun 2010 (selasa)
9.38 pm
Syari' Thulkram, Irbeed, Jordan.
Suhu malam ini : 24 oc.


-Teringat along kata kat kawan-kawan; "Entah la adik tu, macam takde perasaan je jumpa family dia.." ~ hu..

-"Perasaan itu bahasanya hati..".. ^_^