1) Islam
Islam itu indah, bila disebut Islam itu indah ramai yang tak pelik atau rasa semacam pun.Sebutan Islam itu indah dah biasa disebut.Tapi cukupkah sekadar mengatakan Islam itu indah boleh menarik orang untuk mendekati seterusnya berislam?
Cuba lihat perumpamaan ini.
Ada seorang gadis yang lawa, sangat cantik dan ramai yang mengakuinya, kata lah gadis ni adalah A.pada masa yg sama ada seorang jejaka, kata lah jejaka ni B. A dan B tak pernah kenal satu sama lain. Dengan kemajuan teknologi , A dan B berkenalan tanpa B melihat muka A, diorang berkenalan melalui alam maya, mungkin menerusi 'chatting'.
Nak dijadikan cerita masa perkenalan itu A dah bagi first impression yg kurang baik kat B.Semasa kenal A asyik duk bercakap mengenai keburukan kawan dia .B pun lantas tak berniat nak berkawan atau mengenali A dengan lebih dekat dek kerana A salah "introduce" dirinya kepada B.
Cuba kalau A pada mulanya "introduce" dengan baik dirinya, pasti jika B teruskan proses nak kenal A dgn lebih dekat, kemudian baru terjadi situasi A mengata keburukan orang, pastinya lain respon B kali ini.Pasti B akn cuba selidik kenapa A buat macam tu.
Ok, sama macam nak kenalkan Islam yang indah ni!
Kalau dah kita kenalkan islam dengan cara yang tak betul, macam mana orang nak semakin mengenali islam?kalau dah approach kita terus cakap pasal tak ikut cara islam masuk neraka, sesuai tak?
Bukankah untuk seseorang betul2 menjadi muslim yang baik maka dia kena punyai perasaan cinta kepada ALLAH?
Macam mana nak wujudkan cinta kepada ALLAH?
Begitu banyak ayat-ayat al-Quran tentang betapa pemurahnya ALLAH dalam memberi taubat dan menghapuskan dosa, dan betapa ALLAH amat mementingkan maruah/aib seseorang.
Bukankah itu sungguh menyentuh hati? Begitu banyak lagi keindahan dalam sifat-sifat ALLAH yang boleh membuatkan seseorang merasakan ALLAH begitu penyayang kepada hamba-hambaNya.
Kuasa cinta sungguh hebat, manusia sanggup buat apa sahaja demi cinta.Sungguh... bila wujud cinta yang kuat kepada ALLAH, manusia takkan mempersoalkan syariat ALLAH dan menjadi Muslim yang taat.
Jadi kesimpulannya, Islam itu indah, cara nak memperkenalkan islam dan apa yang diperkenalkan dulu tentang islam juga mestilah indah/cantik.
2) Pendakwah
Pendakwah perlu mengetahui apa kelebihan yang dia ada.
Ada orang petah bercakap, ada orang boleh menulis dengan baik, ada orang boleh kedua-dua nya sekali.Kenali diri sendiri dan manfaatkan kelebihan diri untuk berdakwah.
Orang yang cuma pandai menulis, tumpukan kepada penulisan, cuba perbaiki mutu penulisan dan biarkan methode berceramah itu kepada orang yang petah bercakap.jadi masing-masing ada peranan.
Setiap peranan ada kepentingannya sebab ada orang suka membaca tapi tak suka pergi dengar ceramah dan ada orang sebaliknya.
Pendakwah juga perlu 'sedar diri', hehe. Sedar diri yang saya maksudkan bercakap sesuatu yang dia memang yakin dan faham ttg sesuatu isu itu.
3) Target (orang) yang didakwah.
Pendakwah perlu bijak dlm menyampaikan mesej. Kenali target.
Approach untuk orang kampung tentunya berbeza dengan orang bandar dan professional. Ada target yang dah ada basic dan ada yang zero. Dan ada komuniti yang kurang prefer program2 agama dan ada sebaliknya.
Katakanlah ada satu universiti M...
Univ M ni dia ada dua kampus, satu kampus C dan satu D.Kampus C alhamdulillah suasananya masih terasa islamik nya maka approach dan aktiviti yang dilakukan banyak bertumpu kepada nak melatih menjadi da'ie atau sebagainya.
Tapi disebelah pihak lagi, kampus D berbeza, di situ komunitinya lebih kepada hedonisme (katakan lah), asal nama je program agama diorang tolak terus, payah la nak join.
Maka prioritinya tentulah kepada nak betulkan imej diorang terhadap islam.Fokus tentulah kepada nak kongsi betapa ALLAH begitu Penyayang, Pemberi taubat ,mudahnya Islam, betapa praktikalnya Islam.
Jadi "haraki" untuk kampus C dan "haraki" kampus D berbeza.
Setuju?
Ini cuma coretan minda saya.
Setiap kata-kata itu terbuka kepada penerimaan dan kritikan kecuali kalam ALLAH dan kata-kata rasulullah s.a.w yang sememangnya diterima je.
Jadi...komen2 lah ye =)
fuad nordin (abu umar)
2 ulasan:
Salam Sismukhlisah.. Artikel yang baik dan menarik:-)
Di sini saya ada 'sedikit' perkongsian. Harap dibenarkan ya..
Sebagai blogger muslim, kita harus faham dan sedar akan tanggungjawab kita untuk berdakwah dengan menggunakan teknologi maklumat terutamanya menggunakan blog.
Banyak faktor yang menyebabkan usaha dakwah Islamiyyah menjadi lemah, perlahan, hambar dan tidak membuahkan hasil. Antara faktor yang dikenalpasti menjadi punca dakwah Islamiyyah menjadi seperti itu ialah kerana kurangnya penglibatan orang Islam dalam usaha dakwah dan perpecahan dalam usaha dakwah itu sendiri.
Masih ramai orang Islam yang tidak mahu melibatkan diri dalam usaha dakwah adalah disebabkan beberapa kekeliruan. Antara kekeliruan yang sering timbul adalah menanti kesempurnaan diri sebelum memulakan dakwah. Hal ini menyebabkan sebahagian daripada umat Islam tidak mahu mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran kerana merasakan amalannya belum cukup mantap dan dirinya masih diselimuti dengan banyak kelemahan.
Antara faktor lain yang menyebabkan kelemahan dan kurang berkesannya Dakwah Islamiyyah hari ini ialah;
1. Kekeliruan umat Islam dalam memahami dakwah.
2. Kesilapan dalam menetapkan visi dan misi (tujuan) dakwah.
3. Tidak menilai kemampuan diri.
4. Menilai pendakwah lebih daripada menilai apa yang disampaikan olehnya.
5. Tidak dapat membezakan antara bahan, keperluan, kemahuan dan tujuan dalam berdakwah.
(sambungan..)
Sebagai blogger muslim apa yang perlu kita fahami ialah; dakwah terbahagi kepada dua iaitu Dakwah Umum dan Dakwah Khusus. Beginilah yang diamalkan oleh Rasulullah (SAW) dan para sahabat. Ada sahabat yang dipercayai dalam soal ekonomi dan kewangan. Ada yang dipercayai dalam bidang ketenteraan dan peperangan. Ada yang dipercayai dalam bidang ilmu agama, Al-Quran dan Al-Hadith.
Di bawah adalah jawapan Prof. Dr. Ahmad Omar Hashim, yang ketika menjawat jawatan Rektor Universiti Al-Azhar ketika beliau diajukan soalan berkenaan Dakwah.
DAKWAH UMUM
Dakwah umum adalah menjadi kewajipan semua orang bergantung kepada ilmu yang diberikan oleh Allah kepadanya. Dakwah ini perlu disampaikan kepada semua masyarakat. Jika seseorang yang bukan dari jurusan agama dan ingin berdakwah, maka dia harus menyampaikan dakwah dalam bentuk ini. Contoh dakwah umum ini adalah mengajak masyarakat kepada segala perkara kebaikan dan menegah dari keburukan. Jika pun dia ingin berceramah atau menulis buku, maka perlulah dakwahnya ini dalam skop yang disebutkan.
DAKWAH KHUSUS
Dakwah khusus adalah untuk mereka yang mempelajari ilmu agama secara tertib, tersusun, sepenuh masa, diambil dari guru-guru yang berkelayakan, dan dipelajari dari satu peringkat ke satu peringkat. Antara bidang dalam dakwah khusus ini pula adalah segala hukum fiqh yang terperinci, faraidh, usul fiqh, tafsir dan sebagainya. Masyarakat yang ingin merujuk kepada perkara-perkara tersebut perlu merujuk kepada mereka yang ada kelayakan dalam dakwah khas tersebut.
Beginilah yang diamalkan sejak zaman berzaman dari zaman sahabat hingga sekarang. Para sahabat sendiri bukan semuanya alim dan faqih. Hanya sebahagian mereka sahaja dijadikan rujukan dalam perkara-perkara feqh. Begitu juga zaman tabi'in dan ataba'uttabi'in. Apabila mula semua orang ingin memperkatakan tentang agama dengan terperinci, maka bermulalah perkara bid'ah dan pecah belah di kalangan umat Islam.
Sebagai blogger Muslim, berdakwahlah mengikut kemampuan, kemahiran dan kepakaran masing-masing. Blogging dengan mengamalkan dan berpandukan ajaran Islam yang sebenarnya sehingga menjadi contoh yang baik kepada orang lain adalah dakwah.
Mengajarkan orang lain ilmu yang bermanfaat adalah dakwah. Membantu orang lain adalah dakwah. Dakwah itu luas dan mudah sekiranya dilakukan dengan kefahaman yang tepat serta dilakukan mengikut kemampuan masing-masing.
Kita sebagai blogger muslim tidak sepatutnya menyempitkan pemahaman dan skop berdakwah melalui blog dengan menganggap hanya tulisan yang berbentuk keagamaan sahaja yang dianggap dakwah. Sesungguhnya kefahaman sebegitu adalah kurang tepat dan boleh melemahkan umat Islam.
Secara mudahnya, apa sahaja usaha yang kita lakukan yang termasuk dalam salah satu daripada 6 perkara di bawah adalah suatu usaha dakwah:
1. Usaha untuk menyeru umat manusia kepada Kalimah Syahadah, Rukun Imam, Rukun Islam dan Ihsan.
2. Usaha untuk menyebarkan kebaikan dan mencegah kejahatan.
3. Usaha untuk memantapkan ilmu dan kemahiran umat Islam.
4. Usaha untuk memantapkan ekonomi dan kehidupan umat Islam.
5. Usaha untuk menyediakan umat Islam dengan keperluan yang perlu dan penting untuk menghadapi peredaran zaman dan ancaman musuh.
6. Usaha untuk menjadikan umat Islam sebagai ‘MODEL CONTOH’ dalam segala bidang kebaikan dan kejayaan di dunia.
Wallahu'alam. Bak kata Saudari di awal artikel ini, ini adalah kata-kata saya yang boleh diterima atau ditolak. Namun ia tetap berpaksi kepada Al-Quran dan As-Sunnah/
Catat Ulasan