Jumaat, 19 Disember 2008

Yang Tercemar ...


Semakin aku menyelidiki hati,
Makin jijik aku terhadap diri,
Kotoran dosa melumpuri setiap inci,
Cuma terhijab dek pemalsuan identiti,
Yang aku paksakan ke atas diri.

Andai ku cabut satu per satu topengan itu,
Pasti kebusukan meresapi setiap penjuru,
Berbangkai diri dek kotornya rohani,
Berkuman hati kerana sombongnya diri.

Hatiku membeku dari suruhan Tuhan,
Hidup kukemudi tempang bersendirian,
Kejahilanku jalang menjulang syaitan,
Nafsu dan penipuan menggalang kehidupan.

Seteruku syaitan tak mengabaikan peranan,
Melarutkan aku dalam agenda kesesatan,
Merencana tindakanku melumpuhkan Al Quran,
Memadai nafsu mengompasi kehidupan,
Ku turuti bisikan yang melapah keimanan.

Akhirnya senang tenang aku direndam dosa,
Menyulam masa bangga berfoya-foya,
Terlupa hakikat hidupku sementara,
Mengurung diri di syurga dunia,
Tertalak cinta Yang Esa natijah akhirnya.

Sehingga dunia luasku bertukar sempit,
Keindahannya terasa begitu menghimpit,
Dari segenap penjuru aku akhirnya tersepit,
Lantaran nafsu yang aku jadikan pengapit,
Yang memperkosa bahagiaku minit demi minit,
Menjerit meronta batinku menahan sakit,
Dengan najis dosa dan noda aku dibelit,
Betapa kini ku butuh kasih Al Khaliq.

Apabila kini mulaku sedari,
Teringin aku menyelak hati,
Mencari-cari iman yang mungkin berbaki,
Untuk aku mengumpan kasih Ilahi.

Kekasih yang tiada khilaf dalam berjanji,
Yang menutur firman berisi motivasi,
"Sabaqat rahmati ghadhabi",
"Kasih sayangKu sentiasa mendahului"

Dia tidak sesekali berhenti menyayangi walau sering dilupai,
Tidak pernah jemu mencintai walau sering tidak disyukuri,
Tidak berhenti merindui walau sering diketepi,
Yang paling banyak menghargai walau tidak pernah dibalasi.

Menginsafi hakikat ini,
Keterharuan mula bertapak di hati,
Kebingungan mula bertugu di rohani,
Bagaimana mungkin ada Kekasih yang begini?
Yang benar-benar menawarkan cinta sejati?
Yang masih sudi menerima diri sang Aa'sy?
Pendabik dada di bumiNya sendiri?
MenderhakaiNya hari demi hari?
Ah!
Bingungnya aku dengan cinta Ilahi!

Mungkinkah ini cinta sejati?
Diburu manusia berakal tinggi,
Yang aku sendiri sedang mencari,
Setelah ku pajak ianya sebelum ini,
Demi nafsu gancang yang mencabul diri.

Di gerigi maksiat batinku dipenjarakan,
Terpancung ketaqwaan aku kelemasan,
Tak ingin diseksa terhina berterusan,
Ingin ku kembali ke pangkal jalan!

Di celah kedurhakaan yang pernah ku lakukan,
Mujur ketemu cebis baki keimanan,
Mendedah kebenaran yang sering diperkecilkan,
Bahawa aku sebenarnya takutkan Tuhan!

Meyakini setiap janji dan balasan,
Bahaman azab buat yang menuruti syaitan,
Panahan neraka buat yang menyembah kesesatan,
Paluan dan seksaan buat yang gagal ujian.

Ujian demi ujian,
Untuk menguji telusnya iman,
Yang selalu lisanku lafazkan.

Ujian demi ujian,
Yang diacu buat setiap insan,
Agar memuja kasih sayang Tuhan.

Godaan duniawi yang aku lewati,
Seksaan rohani yang aku rasai,
Menghalau aku untuk kembali,
Ke jalan Ilahi yang Maha Mengasihi.

Dalam kejijikan dilumur kekotoran,
Ku tadah tangan memohon keampunan,
Merintih merayu memanggilMu Tuhan,
Agar sudi Engkau curahkan kasihan,
Ke atas diriku yang diselubung kehinaan.

Setelah nafsu meratah ketenangan,
Tiada lagi ku sanggup hidup berjauhan,
DenganMu Tuhan, pemilik segala kebahagiaan.

Terimalah taubatku, si mandul amalan.
Kerana aku masih mengharapkan kesempatan,
Untuk merasa gemilangnya kehidupan,
Menjadi pemabuk cinta Ar Rahman.


Oh Tuhan,
Ajarlah aku,
Agarku mampu,
Bercinta denganMu.




...Ukhty Habibaty...
Sayyaff Al-Hafidzah

Tiada ulasan: