Rabu, 12 Ogos 2009

KERANA SEBUAH CIUMAN KASIH BUAT SANG AYAH…


BismilLAHir Rahmaanir Rahiim…


Menukil epilog diri tentang kisah semalam..


"Ya Rahmaan…maafkan hamba Ya Allah, hinanya hamba kerana merasakan diri hamba ini mulia…kotornya hamba kerana merasakan diri ini bersih berbanding mereka. Hamba khilaf Ya Allah…Hamba khilaf…teruknya aku Ya Tuhaaannn..."




Wahai adikku, kutujukan nukilan hati ini buat dirimu yang amat kusayangi, yang amat kucintai kerana DIA!

Wahai adikku, di hati ini…hormatnya aku kepadamu, cinta kasihnya aku terhadapmu takkan pernah sirna…takkan pernah terpadam dari lipatan memori, terpahat kukuh di dasar hati, dan tercatat kemas di atas kanvas sejarah hidup kita…Ku amat merindukan saat-saat kita bersama menghadapi badai-badai semalam di alam dunia.

Wahai adik, ingat lagikah dikau dengan soalmu padaku…"kak, angah ni ego ke? Teruk sangat ke angah ni?"

Mengangguk tidak, menggeleng tidak, lantas kutanyakan kembali padamu, "kenapa angah tanya macam tu? Angah rasa, angah sendiri macam mana?"

….Khali….

"Hmm…camnilah, akak dah lama nampak ego angah tu sebenarnya. Paling nampak sekali bila angah salam dengan abah lepas solat."

" Tau tak kenapa?" kupandang wajahmu yang sayu menantikan penjelasan.

…Geleng…

"Sebab, angah…bila salam dengan abah, acuh tak acuh je salam dan cium tangan abah…" tuturku selembut mungkin.

Sayu pandangmu tajam menusuk kalbuku, terzahir genangan mutiara jernih di kelopak matamu.

"Sian akak tengok abah. Sampai hati awak buat macam tu pada dia. Akak tau, awak ada marah kat abah kan?...tapi, janganlah sampai buat macam tu. Akak terasa sangat bila tengok angah salam, cium tangan abah nak tak nak je…"

Tatkala itu, empangan itu mula pecah…mengalir-ngalir dengan derasnya. Memerah cuping telingamu mendengarkan kebenaran dan hakikat dirimu yang khilaf dari butir bicaraku…kakakmu.

Aku tahu, tangismu itu tangis penyesalan. Sesal atas dosa-dosa yang kau lakukan…biarlah kau menangis hari ini wahai adik, dengan harapan kau tidak akan menyesal di masa hadapan. Wahai adik…biarlah kau menangis air mata darah sekalipun, akan kuteruskan jua menuturkannya…demi sebuah kebenaran.

"Abah tu, tiap hari pergi kerja. Sekolah dia dahla jauh. Keluar awal pagi. Balik dah lewat petang. Tapi, walaupun penat, tak pernah dia tinggalkan solat jemaah maghrib dengan kita. Kadang tu, sampai tertidur waktu berzikir…waktu baca doa. Sian akak tengok dia. Tapi, bila dia hulur tangan untuk disalam dan dicium oleh anak-anak, awak boleh macam ikhlas tak ikhlas je nak cium tangannya. Akak nampak ngah...depan mata akak...Tergamak awak buat macam tu kat abah…" tuturku sebak, benar-benar empati terhadap abah menguasai diri.

Tika itu kulihat, kepalamu tertunduk memandang lantai, sambil mutiara-mutiara jernih itu gugur bersepai ke bawah…membentuk kolam tangis penyesalan.

Ah!! Aku tak peduli itu semua, biar kau hisab dirimu sekarang, agar bisa kau berubah…itu niatku menegurmu adikku…kerana sayang.

"Beria abah hantar kita ke sekolah agama. Sebab apa? Sebab dia nak anak-anak dia berjaya dunia akhirat. Tapi, satu hasrat dia yang paling penting, dia sebenarnya harap sangat kita ni boleh jadi anak yang solehah untuk mereka…"

"Tapi, kalau hal kecik macam ni pun awak tak boleh nak handle, macam mane nak jadi contoh buat orang lain?"

"Macam mane nak berdakwah kat orang...kalau kita sendiri pun macam tu?"

"Susah sangat ke nak salam dan cium tangan abah tu elok-elok??..."

Bukanlah niatku untuk menyatakan kita perlu sempurna, kerana benar kita cuma manusia biasa...tiada yang perfect melainkan baginda Nabi saw. Namun ukuran itu aku gariskan agar kita berupaya mengislah diri. Menjadi lebih baik. Ya, mudah-mudahan...lebih baik...

"Abah tu sedih…tapi dia tak cakap kat kita. Dia sedih, dia takkan tunjuk kat muka. Apatah lagi kat anak-anak dia. Tapi, pandai-pandaila fikir apa perasaan abah bila kita buat cam tu kat dia.."

"Kalau abah tu mati esok lusa, tak sempat awak nak mintak maaf macam mane? Jadi anak derhaka…awak nak ke? NauzubilLAH…"

Esak tangis dan henjut bahumu menggamit simpati kasih yang menebal di hatiku.

…..Khali seketika…..
Sengaja kubiarkan masa itu kosong tanpa bicara. Agar kau bisa berfikir, menghitung diri.

"Umm, sudahlah…tak payahla awak jawab. Yang penting sekarang, akak harap sangat awak boleh berubah. Berubahlah…"

"Jadilah penyenang dan penyejuk hati mereka."

Tangisan yang melimpah itu seboleh mungkin cuba kau tahan. Ya, tafsirku…memang jiwamu ego sebenarnya. Namun aku doakan Allah memasukkan hidayah dan taufiq ke dalam hatimu sementelah keberanian dan kesediaanmu meminta penilaian dan nasihatku terhadap dirimu.

Bagiku, itu menampakkan kematangan dan kesediaanmu untuk berubah…



Hamdalah, dari hari ke hari, aku melihat…dan aku benar-benar nampak susah payah usahamu untuk melenturkan keegoanmu di hadapan abah.

Kadangkala aku tersenyum tatkala melihat keletahmu yang cuba menghilangkan kejelikitan tatkala bersalam dengan abah.

Kesegananmu padaku kadang-kadang terlihat, namun bagiku adik…itu tidak apa-apa. Ya, aku memahami jiwamu tatkala itu. Memang benar, bukan mudah bukan, hendak melenturkan ego.

Andai khilaf itu kau lakukan lagi, pasti sampai teguranku kepadamu…sama ada dengan sapaan, atau cukup dengan sekadar kerlingan mata.

Namun, berkat kesungguhanmu hasil dari kesedaran dan keinsafan yang terpasak teguh dalam dirimu, AlhamdulilLAH…hari ini, engkaulah yang kulihat paling banyak menyusun bicara dengan abah. Paling banyak dan paling pandai mengambil hati abah.

Egomu lebur...Khalis sifatmu nyata bertambah. Ukuran sifat anak yang solehah terlihat berganda menghiasi diri...semuanya kerana juang usahamu...demi merealisasikan 'sebuah ciuman kasih' yang khalis buat sang ayah.

Memang bukan mudah...kerana sebelum melakukannya, banyak yang perlu dan telah kau korbankan.

AlhamdulilLAH, terima kasih Ya Allah...atas segalanya.



SYUKUR SANG KAKAK...


Walaupun aku tidak benar-benar pandai mengambil hati abah sepanjang masa, namun keletah adik-adikku terhadap abah juga sudah cukup membahagiakan diriku. Kerana aku benar-benar merasakan sebahagian dari jiwa adik-adikku itu, ada diriku.

Syukur…syukur aku dengan rahmatMU yang memberikan aku kesedaran emosi yang tinggi untuk mentarbiyah adik-adikku agar menjadi hambaMU yang soleh solehah, hari ini mula membuahkan hasil.

Ditambah dengan rahmatMU jua, mengalir dalam jiwa-jiwa kami kesedaran spiritual yang diwarisi dari jiwa sang ayah, yang dicantum pula dengan kuatnya sifat keibuan sang ibu, maka hari ini…inilah kami. Anak-anakmu. Hehe…yang sentiasa ada saja kenakalan kami saban waktu, buat menceria dan menghidupkan suasana kekeluargaan kita.



SEDAR DIRI...


Namun, tatkala aku pula yang khilaf dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabku sebagai seorang anak, segera aku mengukur dan memuhasabah diri bilamana kuterkenangkan adik-adikku…yang pernah kutarbiahkan jiwa-jiwa mereka. Insaf segera melekap di dasar hati.

Sungguh, benarlah bahawa kehidupan di dunia ini ibarat roda yang sentiasa berputar. Kalau dulu kita berada di atas, tidak mustahil suatu hari nanti kita akan berada di bawah pula. Begitulah juga sebaliknya.


Oleh itu, janganlah kau bersedih hati wahai diri.

Janganlah takut untuk berbuat baik kepada orang lain, kerana insyaALLAH… satu hari nanti, ALLAH akan membalas semula kebaikanmu itu. Jika tidak di dunia, mudah-mudahan DIA menangguhkannya di akhirat kelak dengan ganjaran yang jauh lebih besar dan lebih baik. insyaALLAH.



TASYJI' BUAT ADIK...


AstaghfirulLAH…

Nukilan ini sebenarnya, tiada lain selain kerana ingin menyatakan kecintaanku kepada adik yang kukasihi kerana ALLAH Taala...MARDIAH BT HJ SHAHARUM, yang sedang menuntut dan berjuang di Universiti Yarmouk, Jordan, dalam jurusan Syariah Perbankan Islam. Perjuangan menegakkan sistem ekonomi Islam di muka bumi ini menjadi core-businessmu pada hari ini dan masa depan. Banyak cabarannya...namun aku yakin, engkau bisa mendepaninya dengan ketenangan jiwa yang mudah-mudahan ALLAH sisipkan ke dasar qalbumu. InsyaALLAH...

Kau bertuah adikku, kerana punya saff sahabat seperjuangan yang tegar bersama-sama menyertai jihad menegakkan ekonomi Islam ini. Besar tanggungjawab yang menantimu sekembalinya engkau ke bumi Malaysia kelak. Syiar Islam perlu kau galas dan kau kejap kemas di pundakmu..di samping tugas dakwah yang menuntut untuk sentiasa kau gerak ke sana, ke mari...demi memastikan kelangsungan Izzatul Islam di muka bumi.

Mengenangkan kesungguhanmu wahai adik, itu jualah tasyji' yang mekar menjadi pengingat buat diriku. Bekal memuhasabah diri ini tentang alangkah kecilnya pengorbanan yang sedang kulakukan di sini. Dirimu jualah yang menjadi faktor pendesak untukku bersungguh-sungguh dan berusaha sehabis daya, semampu yang aku terdaya menyampai risalah ALLAH disini, menyambung mata-mata rantai perjuangan baginda Nabi saw.

Bagiku, tempias imanmu amat terkesan buat kami yang pernah mengenali dirimu di sini.


Lantaran itu wahai adikku, teguhkanlah ikatan hatimu dengan ALLAH. Kau hebat adikku. Hebat dikau bilamana kau bersama ALLAH. Jangan kecil hati dengan tafsir-tafsir syaitan tentang dirimu. Suburkan jiwamu dengan tekad dan keyakinan yang jitu kepadaNYA. Jangan toleh ke belakang lagi. Jangan kau membiarkan syaitan membolak-balikkan hatimu lagi. Kerana sesungguhnya, hanya ALLAH jua Yang Maha Pemberi Mudharat!

Aku arif tentangmu. Walaupun tidak searif DIA…Masakan tidak…jatuh bangun, perit sakit dirimu, gembira deritanya engkau, semuanya berlaku di depan mataku.


Percayalah, ALLAH sentiasa bersamamu. Episod-episod kejayaan yang kau lalui hingga ke setakat ini adalah bukti bahawa nusrahNYA sentiasa bersamamu.

Maafkan aku, bukan sengaja niatku hendak menceritakan kehebatan dirimu agar kau terbuai dengannya. Tidak. Tidak sama sekali. Namun, kulakukan ini semata-mata untuk mengingatkanmu dengan janji-janji ALLAH. DIA ada bersamamu. Bersama kita!

'Toriq' yang sedang dilalui ini sudah benar. Mudah-mudahan ALLAH beri kejayaan fidDaraini untuk usaha pejuang agama yang berjuang tanpa kenal erti jemu. Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam golongan pemikir ummah seperti yang kau cita-citakan.

Tahniah kerana memilih untuk menjadi asing dikala umat manusia diakhir zaman ini telah rosak hati dan jiwanya.

Aku juga sedang sakit. Hati dan jiwaku sakit. Doakan rahmat ALLAH bersamaku. Aku amat rindu untuk kembali mencintai DIA seperti yang pernah kurasai suatu ketika dulu. Aku amat rindu…namun tika ini semua itu hanya mampu terlafaz di bibir, namun di hati...aku tidak merasakannya.

Walaupun begitu, biar apapun yang berlaku, usaha untuk mengukir namaNYA di dasar qalbu pada saban waktu...perlu aku teruskan tanpa sengaja mengalah.

Dan aku amat-amat berharap...mudah-mudahan ukhwah dan pertalian darah kerana aqidahNYA ini bisa menjadi syafaat buatku kelak di akhirat sana. insyaALLAH, mudah-mudahan DIA Yang Maha Mendengar dapat mendengar rintih bicara dari hambaNYA yang amat hina ini.



Wallahua'lam,
ALLAH jua yang Maha Tahu!




Buat adik-adikku yang aku cintai dengan sepenuh jiwa raga ini, MARDIAH dan KHAIRUN NISYA BINTUN HJ SHAHARUM n HJH SITI ZAWIYAH…doaku, moga kalian dan kita semua terus berada dalam pelukan Cinta Sang Ilahi Rabbi, amiin, insyaALLAH, biiznilLAH.


Ampunkan Ya ALLAH...andai ada khilafku dalam menukilkan bicara dari lubuk hati ini...
Andai ada manfaatnya, ambillah. Andai ada mudharatnya, tegurlah. WalLAHua'lam.






Yang amat mengharapkan keampunan Tuhannya,

Mukhlisah Mutmainnah,
2nd Praktikum,
SKPK Kuantan,
12 Ogos 2009
Selasa,
2.50 a.m.

Tiada ulasan: