Ahad, 21 Disember 2008

Mengapa Aku Mahu Menjadi Insan Pendidik?




"“A winner visualize mentally the act of winning,
long before it even happens."



Bicara motivasi yang sering diungkapkan oleh Dato’ Dr. Hj. Mohamad Fadzilah Kamsah ini senantiasa terpahat kukuh di sanubariku. Sebagai seorang insan yang dilahirkan dengan fitrah cintakan kedamaian, maka adalah menjadi harapanku untuk menyaksikan umat yang bertuah ini kembali bersatu hati berada di dalam rahmat Tuhan Semesta Alam.

Setiap insan pendidik pasti memahami dengan baik akan pepatah, ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’. Menyedari hakikat inilah, maka aku berasa amat terpanggil untuk meneruskan perjuangan permata hati belahan jiwa, ayah dan ibu tercinta dalam profesion keguruan ini, yang amat kukagumi tidak pernah sekalipun meluahkan perkataan ‘jemu’ dalam mendidik generasi.

“MENGAPA AKU MAHU MENJADI INSAN PENDIDIK?”

Satu persoalan yang cukup dalam untuk kulestarikan maknanya dengan mata pena, namun akan cuba kuhuraikan dengan sebaiknya, insya-Allah.

Sesungguhnya, aku amat yakin dan percaya, setiap insan sudah tentu mempunyai peta hidupnya yang tersendiri. Insan yang cemerlang, visi dan misi hidupnya sentiasa tergambar jelas diruang mata, dan terlukis indah dalam kamar hatinya. Tidak terkecuali aku.

Visi hidup dan matiku adalah untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. semata-mata dalam setiap gerak langkahku. Sebagai insan yang dilahirkan mempunyai jiwa iman dan taqwa, aku amat meyakini bahawa apabila keredhaan-Nya kita miliki maka seluruh kehidupan ini pasti bersinar, terang-benderang dengan cahaya, dan berbahagialah jiwa yang mendapatinya. Pada hematku, individu yang berjiwa bahagia pasti akan senantiasa berasa gembira dan berlapang dada dengan setiap onak duri, mehnah dan tribulasi dalam profesion yang perlu diperjuangkannya.





Sebagai seorang bakal guru, aku amat menyedari bahawa untuk mendidik seorang manusia agar menjadi ‘insan’ bukanlah mudah…kerana, yang perlu dididik dan dibimbing bukanlah jasmaninya sahaja, bahkan yang paling utama adalah pada hatinya. Hati yang subur dengan fitrah dan kasih sayang Tuhan, jiwanya sentiasa bersedia untuk mencintai segala kebaikan, serta cekal dan tabah menempuh cabaran dalam perjuangannya untuk menimba ilmu pengetahuan, dan hati-hati ini juga amat lembut dan mudah untuk dididik serta ditunjukkan jalan kebaikan.

Ilmu yang disampaikan daripada hati seorang guru yang bersih, tulus, dan luhur, insya-Allah akan masuk dan meresap ke dalam hati anak-anak didiknya dan ia pasti terkesan dalam jiwa mereka. Oleh itu, sebagai seorang pendidik, keikhlasan untuk mendidik generasi amatlah perlu. Untuk diriku sendiri, sentiasa kubisikkan pada diri ini, “wahai jiwa yang tenang, sucikanlah niat dihatimu, mendidik anak bangsa demi menggapai cinta dan redha-Nya. Maka insya-Allah, nilai bahagia pasti bersemarak di dalam jiwa setiap daripada kita”. Amin Ya Rabb.

Suatu ketika, seorang hamba Allah datang bertanya kepada Hujjatul Islam, Al-Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Taala Anhu, “apakah tanggungjawab seorang guru?” Dengan tenang beliau menjawab, “tanggungjawab seorang insan guru adalah memasukkan setiap pelajarnya ke dalam syurga.”

Subhanallah! Nah! Begitulah murninya falsafah pendidikan Imam Al-Ghazali, salah seorang cendekiawan agung umat ini. Berbekalkan visi suci Al-Ghazali ini, lantas kukejap kemas dua misi utama perjuanganku sebagai junior murabbi.

1- Memperkasakan arena pendidikan berteraskan wahyu
2- Memantapkan keunggulan sahsiah seiring kecemerlangan akademik

Menghuraikan misi pendidikanku yang pertama, iaitu ‘memperkasakan arena
pendidikan berteraskan wahyu’, suka untukku menyatakan bahawa kecintaanku terhadap bidang sains benar-benar menjadikan aku begitu teruja dengan Al-Quran.

Al-Quran merupakan ensiklopedia teragung sepanjang zaman. Hari demi hari, semakin usia dunia melangkah tua, kebenaran fakta yang dibentangkan di dalam Al-Quran semakin terserlah. Dalam dunia globalisasi kini, seiring zaman ledakan ilmu dan maklumat, semakin banyak penemuan-penemuan sains yang menakjubkan ditemui dan telah dibuktikan kajian demi kajian oleh para saintis dan profesor diperingkat antarabangsa.

Ingin aku tegaskan, mana mungkin Al-Quran sebagai sebuah kitab suci yang seandainya benar seperti dakwaan streotaip segelintir orientalis Barat, telah direka oleh seorang manusia biasa kira-kira 1400 tahun yang lampau di suatu daerah di Tanah Arab yang tandus, tanpa sebarang kecanggihan teknologi, mampu membicarakan dengan jelas perihal kejadian alam semesta, proses penciptaan langit dan bumi, fitrah kejadian manusia, kejadian siang dan malam, peredaran matahari di atas paksinya yang tersendiri, dan banyak lagi teori-teori sains yang terbukti benar hasil eksplorasi dan eksperimentasi yang telah pun dijalankan oleh para saintis terkemuka dunia hari ini. Sememangnya kebenaran sudah pasti tidak akan dapat sekali-kali disembunyikan. Kebenaran bahawa wahyu Al-Quran adalah daripada Tuhan Pencipta Agung ternyata benar. Lihat sahajalah kepada setiap faktanya yang mendahului zaman.

Lantaran itu, hasil didikan Tuhan yang tidak pernah memaksa hambanya untuk meng’iya’kan setiap kata-kata-Nya, malahan memberikan peluang dan ruang yang amat luas agar kita sendiri bebas mengkaji setiap bait ayat di dalam kalam-Nya itulah yang kufikirkan amat releven sekali pendekatan ‘membimbing secara demokrasi’ yang boleh kuterapkan tatkala mendidik nanti, seiring memperkasakan hasrat murni kerajaan seperti yang telah termaktub di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, insya-Allah. Demokrasi yang kumaksudkan adalah memberikan setiap murid sebanyak mungkin peluang untuk mereka meneroka dan terus meneroka mencari dan menggali kebenaran ilmu. Namun, apa yang penting selaku guru, kita harus membimbing dan membantu mereka.

Misi pendidikanku yang kedua iaitu, ‘memantapkan keunggulan sahsiah seiring kecemerlangan akademik’, sentiasa menyedarkanku untuk kembali bermuhasabah tatkala aku leka dan alpa bahawa diri ini adalah seorang guru.

Untuk menjadi insan yang dicontohi, atau menjadi role-model kepada masyarakat pelajar khususnya, tidak cukup dengan sekadar berkata-kata tetapi tidak melaksanakannya. Seperti mana firman Allah di dalam kalam-Nya :

“Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan? Amat besarlah kebencian Allah kepada orang yang mengatakan apa yang tidak kamu kotakan” (Surah As-Saff : 2-3)

Justeru, adalah perlu untuk kita contohi seorang tokoh yang peribadinya mampu membina motivasi dan kendiri kita sebagai murabbi yang unggul.

Betapa aku amat mencintai peribadi Muhammad Utusan Teragung sebagai contoh terbaik dalam hidupku. Telah tercatat di dalam lipatan kanvas sejarah kira-kira 1400 tahun yang lampau, dengan berbekalkan wahyu qudwah hasanah atau suri tauladan yang paling baik ini mampu mentadbir dan menghidup suburkan suatu negeri yang dahulunya kontang, tidak cukup dengan geografi fizikalnya, bahkan kontang ilmu dan budi. Namun, jiwa pendidik agung ini yang tidak pernah hatta sekali pun melafaz jemu, dan tidak pernah sekali pun membalas amarah. Bahkan sentiasa pula mendoakan kebaikan dan kerahmatan dari Cinta Hatinya, yakni Allah Azza Wajalla bagi umat yang diserunya saban hari.

Hatta baginda pernah pada suatu ketika mengajak ahli kampungnya sendiri di Taif kepada kedamaian dan kasih sayang Ilahi, namun baginda telah dilontar dengan hinaan, cercaan, maki hamun, sumpah seranah, malah telah dilempar dengan batu-batu pelbagai saiz yang bukan sedikit jumlahnya oleh setiap penduduk kampung sama ada anak-anak kecil, para wanita, mahupun orang tua yang memandang baginda dengan pandangan yang menghina, sehingga bercucuran mengalir darah daripada kepala dan tubuh baginda hinggakan terdengar kocakan darah di dalam kasut Nabi tatkala meneruskan langkah yang longlai, dan patah dua batang gigi hadapan baginda. Sewajarnya sahaja fitrah seorang manusia yang diperlakukan sedemikian rupa akan membalas kembali demi mempertahankan diri. Namun, tidak bagi baginda Nabi. Baginda tetap tenang dan sabar, malahan hatinya tidak putus-putus mendoakan agar mereka dilimpahi cahaya hidayah dan taufik daripada Allah s.w.t. yang amat-amat memahami pahit getir yang dialami kekasih-Nya itu. "Ampunkan mereka Ya Allah, sesungguhnya mereka tidak tahu!"

Lantas, berkat besarnya pengorbanan dan kesabaran baginda Rasul inilah maka akhirnya baginda berjaya menubuhkan sebuah negara Islam contoh yang teragung dalam lipatan sejarah peradaban manusia, serta di tengah padang pasir yang tandus itu jualah telah terbinanya sebuah tamadun yang telah merubah aura dua pertiga dunia, Timur dan Eropah!





Alhamdulillah, terima kasih wahai Rasulullah, seandainya kalau bukan kerana berkatnya kesabaranmu dalam mendidik hati-hati dan sahsiah umat ini, maka belum tentu aku akan hidup dalam keamanan bersama profesion keguruan yang kusanjung tinggi di bumi Malaysia ini wahai Nabi.

Buat akhirnya, sebelum mengakhiri tinta bicara, senang sekali untuk kukongsikan epilog silamku…

Suatu ketika dahulu, aku pernah jatuh…tersungkur di dalam jurang yang dalam, amat kelam dan terlalu asing bagi diriku. Namun, berkat kasih sayang dan cinta-Nya, kulihat ada biasan cahaya dan sinar harapan yang menanti di hadapan sana. Tatkala hati dilimpahi nur hidayah dan taufik-Nya, aku nekad. Aku mesti berubah! Kuhadirkan anjakan paradigma dalam diri ini. Kerana, aku amat yakin…insan di sekelilingku perlukan aku. Masyarakat melambai tangan mengharap pertolonganku. Aku bersaksi atas nama Tuhanku, Rabbul Jalil…takkan hilang seorang gadis berjiwa tenang ini kerana tewas tersungkur dengan ujian yang begitu kecil. Aku tidak mahu malu di hadapan Allah tatkala hari penghisaban tiba. Dan inilah azamku. Realiti mehnah dan tribulasi kehidupan yang menanti akan aku hadapi. Aku harus tabah, dan aku perlu cekal!

Oleh itu wahai Tuhan yang Maha Pengasih, bantulah aku untuk membawa anak didikku nanti menggapai redha dan cinta-Mu, mudah-mudahan kami dapat bertemu dan melihat wajah-Mu di negeri abadi... Istajibillahumma dua’ ana Ya Arhamar Rahimiin. Amin…Ya Rabbal ‘Alamin.


Sekian, luahan isi hati seorang bakal guru…


BERSAMA MEREALISASI MISI SUCI, IMPIAN BERVISI!

QIAS DIRIKU :

Aku cintakan Tuhan,
Orang yang mencintai Tuhan, pasti jiwanya tenang,
Aku berjiwa tenang. =)




Yang Mengharap Redha-Nya,
Mukhl!sah Mutmainnah
5 Mac 2007 - 02.57am

1 ulasan:

lelucon berkata...

salam,

saya juga bakal jd pendidik (insya'allah), dan juga bakal 'mewarisi' profesion yg dimulai oleh ibubapa saya. saya pun minat sains, dan kini dlm bidang sains komputer. Cuma bezanya mgkin tak sebagus saudari dlm menelusuri cabaran hidup :)

tahniah, dan teruskan perjuangan!

'Jgn tanya apa yg kita dapat, tp tanya apa yg kita sumbangkan'- petikan kata pujanga

http://lelucon2020.blogspot.com